15 April 2010

Mugilan berdepan kemungkinan dipecat

30 Rabiulakhir 1431H.

Timbalan ketua Pemuda MIC, V Mugilan(gambar) berdepan dengan kemungkinan dipecat dari parti itu sekiranya dia dipilih esok sebagai calon BN dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja pusat MIC di ibunegara malam ini.

Dalam sidang akhbar ringkas selepas itu, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata tindakan disiplin akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang bertindak untuk menghancurkan parti.

"Sesiapa pun daripada parti kita yang mempermainkan parti, mereka yang ambil tindakan sendiri untuk menghancurkan parti, kita sudah putuskan ambil tindakan tatatertib mengikut undang undang," katanya.

Ditanya sama ada beliau merujuk kepada Mugilan (kiri), Samy Vellu menjawab: "Boleh jadi Mugilan atau sesiapa saja. Muligan adalah yang teratas dalam senarai."

Ditanya apakah Mugilan akan dipecat, beliau menjawab: "Kita telah memutuskan untuk menunggu hingga esok. Kami mahu siasat lebih lanjut.

"Kita telah putuskan mengenai Muligan. Kita mahu tunggu hingga jam 10 pagi esok," katanya sambil menambah mereka akan menunggu keputusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya sama ada Muligan yang dipilih sebagai calon, Samy Vellu jawab: "Saya tidak mahu kata apa-apa mengenainya."

Sementara itu, difahamkan sebarang keputusan mengenainya akan diumumkan jam 10 pagi esok selepas Samy Vellu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga timbalan pengerussi BN dijadual mengumumkan calon BN petang esok.

Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan memberitahu kemudiannya bahawa Samy Vellu dijadual menemui Muhyiddin di Putrajaya pagi esok.

"Kita akan keluarkan maklumat (mengenai calon) selepas jam 10 pagi esok," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Kamalanathan menambah, parti itu hanya mengiktiraf timbalan presidennya, Datuk G Palanivel sebagai calon.

Selain Palanivel, satu lagi nama yang disebut-sebut disokong oleh Umno untuk dicalonkan bertanding di Hulu Selangor ialah Mugilan.

Siang tadi, 18 ketua bahagian MIC di Selangor tampil mendesak kepimpinan BN supaya meletak Palanivel - yang dicadangkan oleh presiden parti itu - sebagai calon di Huu Selangor.

Manakala beberapa ketua cawangan MIC di Hulu Selangor mengancam untuk membubarkan cawangan masing-masing jika BN memilih calon lain.

Tindak-tanduk barisan kepimpinan MIC di semua peringkat itu menguatkan lagi khabar angin bahawa Palanivel tidak dipilih bertanding di Hulu Selangor. Malaysiakini/-


Tiada ulasan: