14 April 2010

Zaid calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor.

29 Rabiulakhir 1431H.

Datuk Zaid Ibrahim dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Pemilihan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu diumumkan malam tadi oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di satu majlis perjumpaan rakyat di Serendah, Hulu Selangor.

Pengumuman itu sekaligus menjawab teka-teki siapakah calon yang akan dipilih yang tersebar sejak kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan calon Barisan Nasional Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan 25 April ini.

BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Tiada ulasan: