21 Mei 2010

Perintah berkurung di Bangkok mulai 8 malam ini

6 Jamadil Akhir 1431 H

Kerajaan Thailand hari ini mengisytiharkan perintah berkurung di ibu kota Bangkok mulai 8 malam ini selepas pihak tentera berjaya menawan semula kubu kuat kumpulan penunjuk perasaan anti kerajaan di pusat bandar itu.

Dalam operasi pasukan keselamatan hari ini, empat orang terbunuh dan 40 lain cedera dalam pertempuran jalanan.

Menurut Pusat Resolusi Situasi Kecemasan (CRES, perintah berkurung itu adalah sehingga 6 pagi esok.

Pemangku jurucakap kerajaan, Dr Panitan Wattanayagorn berkata penumpang yang ingin pergi ke lapangan terbang malam ini dibenarkan dengan menunjukkan pasport dan tiket penerbangan mereka di tempat-tempat pemeriksaan keselamatan.

Daripada empat mangsa korban hari ini, tiga daripadanya adalah warga asing termasuk wartawan bebas Itali berusia 48 tahun, yang dikenali sebagai Fabio Polenghi.

Anggota keselamatan menawan semula kawasan perhimpunan kumpulan 'Baju Merah' di pusat bandar pada pukul 2 petang tadi, tidak lama selepas pemimpin kumpulan itu mengistiyharkan untuk menamatkan perhimpunan itu.

Seramai tujuh pemimpin Baju Merah termasuk Jatuporn Prompan, Natthawut Saikua dan Dr Weng Tojirakarn kemudian menyerah diri di ibu pejabat polis di Bangkok.

"Saya mohon maaf kepada anda semua tetapi tidak mahu lagi banyak kerugian. Saya isytihar tamat perjuangan ini," kata Jatuporn.

Operasi tentera dan polis secara besar-besaran bermula pada pukul 6 pagi tadi dan dua jam kemudian pasukan keselamatan menguasai Taman Lumpini selepas pertempuran sengit dan berbalas tembakan dengan penunjuk perasaan.

Sekurang-kurangnya 10 letupan bom serta berbalas tembakan kedengaran ketika pasukan tentera mula bergerak ke arah pentas utama perhimpunan di Rasprasong.

Kebanyakan penunjuk perasaan menyerah diri selepas pengumuman oleh pemimpin Baju Merah itu tetapi masih ada sebilangan terus mengganas dengan membakar kompleks membeli-belah mewah, Central World, yang terletak empat kilometer persegi dari kawasan perhimpunan.
Ketika ini, kompleks itu masih terbakar.

Kumpulan itu memulakan perhimpunan pada 1 dan 2 Mac lalu dengan menuntut pembubaran Parlimen dan mula tinggal secara berterusan di Jambatan Phan Fa sebelum bergerak ke tapak perhimpunan di pusat bandar pada 3 April lalu.

Apa yang bermula secara perhimpunan aman bertukar menjadi ganas apabila kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan pada 13 Mei apabila mereka gagal meninggalkan kawasan itu.

Antara yang terkorban ialah perancang ketenteraan kumpulan Baju Merah, Mej Jen Khattiya Sawasdipol, yang ditembak di kepala oleh penembak curi pada 13 Mei dan dia meninggal dunia dua hari kemudian.

Jeneral dua bintang itu digantung oleh angkatan tentera kerana berpihak dengan kumpulan Baju Merah.
Pertempuran dan keganasan jalanan itu setakat ini mengorbankan 70 orang dan 1,295 mengalami kecederaan.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

itulah balasanya kerana mereka menyerang dan membunuh saudara Islam kita di Fatani. rejim Thai adalah musuh Islam