21 Mei 2010

Cerita Abdul Rahman, Tokoh Etnik Uygur dengan Kilang Pakaian Dadinya

6 Jamadil Akhir 1431 H

Abdul Rahman, dilahirkan di Kaunti Yecheng, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang. Dalam ingatannya, beliau masih ingat akan kehidupan semasa kanak-kanak yang berada dalam kesusahan kerana pada waktu itu hanya ayahnya seorang sahaja yang berkerja bertungkus lumus untuk menyara 11 orang ahli keluarganya. Abdul Rahman amat menyayangi ayahnya, maka beliau bekerja secara sambilan pada hujung minggu dan hari cuti untuk mendapatkan wang bagi membayar bayaran sekolahnya sendiri ketika beliau belajar di sekolah menengah.

Kehidupannya yang susah tidak menghalang Abdul Rahman daripada mengejar impiannya untuk menjadi seorang pereka bentuk pakaian. Beliau gemar melukis dan menjahit pakaian etnik Uygur sejak kecil lagi. Melalui usaha yang bersungguh-sungguh, beliau berjaya mengikuti jurusan reka bentuk pakaian etnik di Universiti Tekstil China pada awal tahun 1990-an. Abdul Rahman bercita-cita untuk membuka perniagaannya sendiri dengan pengetahuan teknikal yang diperolehinya selepas lulus dari universiti. Namun, beliau menyedari bahawa beliau masih kekurangan pengalaman untuk membuka perniagaan sendiri. Maka, beliau pergi ke Guangzhou seorang diri dan bekerja di sebuah kilang pakaian di Guangzhou.

Bagi beliau yang pertama kali datang ke Guangzhou, manakala beliau tidak mengenali sesiapa pun, tidak faham dan tidak pandai bertutur dialek Guangzhou. Beliau menghadapi banyak cabaran dan masalah sama ada dalam pekerjaan mahupun dalam kehidupan. Katanya,

"Pada masa itu, susah sekali untuk mendapat kerja. Maka saya berkata kepada mereka yang mengambil kakitangan baru bahawa saya boleh bekerja tanpa gaji sekiranya mereka boleh menyediakan saya tempat tidur. Mula-mula, mereka tidak tahu bahawa saya tamat dari universiti dan menguasai teknik membuat pakaian. Mereka menyuruh saya membersihkan pejabat, menyediakan teh dan kerja-kerja lain."

Abdul Rahman tidakpun merungut dan terus bekerja dengan bersungguh-sungguh. Pepatah Melayu menyatakan "permata akan bercahaya walaupun dalam lumpur". Teman-teman Abdul Rahman mula mengesyaki bahawa pemuda Uygur ini bukanlah orang sembarangan kerana jika mesin sesiapa sahaja mengalami kerosakan, beliau boleh membaikinya; jika ada di antara pekerja yang belum menyelesaikan kerja menjahit pakaian, beliau juga boleh memberi bantuan. Teman-temannya amat kagum dengan kebolehan dan sikapnya. Abdul Rahman telah mendapat pujian daripada teman-teman dan ketuanya kerana beliau bukan hanya bersedia memberi bantuan kepada orang lain dengan murah hati, malah menjadi teladan kepada orang lain yang bekerja lebih lama daripadanya serta beliau selalu rendah hati.

Beliau mula menjawat jawatan penting dalam syarikat tersebut. Beliau dibenarkan menyertai proses operasi syarikat tersebut, iaitu membeli kain, memproses pakaian dan menjual pakaian. Abdul Rahman menjadi semakin berpengalaman dalam sektor tersebut melalui pekerjaannya dalam beberapa tahun ini. Selain itu, beliau juga berjaya menguasai kaedah pentadbiran dan pengurusan syarikat. Ketuanya telah memberikan galakan dan sokongan sepenuhnya kepada beliau ketika Abdul Rahman memohon untuk kembali ke Xinjiang untuk menguruskan syarikatnya sendiri.

Abdul Rahman segera membuka sekolah vokasional di bandar Urumqi dan Kuerle secara berasingan selepas beliau kembali ke wilayah Xinjiang. Sekolah vokasionalnya bukan sahaja mendapat keuntungan dari segi ekonomi, tetapi juga menerima reputasi yang baik dari segi sosial kerana ramai orang muda tempatan berpeluang mempelajari teknik praktikal yang bermanfaat bagi mereka mendapatkan peluang kerja.

Selain itu, beliau menguruskan sebuah syarikat pakaian etnik di Urumqi. Pakaian yang dihasilkan syarikat tersebut amat laris jualannya kerana reka bentuk pakaian istimewa serta bahan kain yang digunakan itu bermutu tinggi. Oleh itu, pakaian syarikat tersebut telah dieksport ke negara-negara Asia Tengah dan mendapat sambutan baik.

Lama-kelamanan, kerjaya Abdul Rahman memasuki fasa yang semakin lancar. Tetapi pada ketika itu, kehidupan keluarganya telah ditimpa kerugian yang besar. Pada tahun 2006,lima ahli keluarganya meninggal dunia seorang demi seorang dalam tempoh setahun. Kesedihan yang amat sangat menjadikan Abdul Rahman tidak ambil peduli tentang urus niaga syarikatnya, selama beberapa minggu.

"Ayah, adik dan beberapa orang saudara mara saya meninggal dunia seorang demi seorang hanya dalam sepuluh bulan sahaja. Saya sangat sedih pada masa itu dan saya tidak boleh tahan mengalirkan air mata setiap hari."

Walau bagaimanapun, akhirnya Adbul Rahman menyedari bahawa kehidupan masih perlu diteruskan, tanggungjawab untuk menyara dan menjaga ahli keluarga perlu dipikul. Oleh itu, beliau melepaskan kerjayanya dan kehidupannya yang lebih selesa di bandar, sebaliknya pulang ke kampung halaman, iaitu kaunti Yecheng.

Selepas beliau kembali ke kampung halamannya, beliau terus memikul tanggungjawab untuk menjaga ibunya sambil mencari peluang untuk meneruskan pekerjaan. Setelah menjalankan penyelidikan pasaran, Abdul Rahman dengan gembiranya melihat kaunti Yecheng sudah mengalami perubahan yang begitu besar seiring dengan pelaksanaan dasar penerokaan bahagian barat China. Lebih-lebih lagi, pemikiran penduduk pelbagai etnik tempatan juga telah berubah. Selepas mengetahui keadaan pembangunan ekonomi, pelaburan dan dasar keutamaan untuk menggalakkan golongan muda meneroka kerjaya sendiri, Abdul Rahman menjadi lebih berkeyakinan untuk meneruskan perniagaannya di kaunti Yecheng. Kata beliau,

"Saya telah meninjau ke merata tempat di kaunti Yecheng. Saya mendapat tahu ramai orang yang menganggur di Yecheng sebenarnya pandai menjahit pakaian. Maka, saya membuat keputusan untuk membuka sebuah kilang di kaunti tersebut."

Kilang Pakaian Dadi telah berjaya ditubuhkan oleh Abdul Rahman dengan menggunakan modal lebih 500 ribu yuan RMB pada tahun 2007. Kilang tersebut bukan sahaja sebuah kilang pakaian, tetapi dijadikan "pangkalan latihan dan latihan amali" di Yecheng. Setakat ini, kelas pelajaran menjahit pakaian telah ditawarkan sebanyak 15 kali, kadang kala Abdul Rahman sendiri akan mengajar tekniknya kepada pelajar. Lebih 800 orang pelajar yang tamat daripada kuliah tersebut, selain daripada lebih 180 lulusan terus diambil bekerja di kilang tersebut, manakal 80% pelajar lain pula bekerja di tempat lain. Ini memang memberikan bantuan yang besar kepada kerajaan tempatan untuk mengatasi masalah pengangguran di Yecheng.

Tiga tahun sudah berlalu, jumlah pekerja di kilang Abdul Rahman meningkat dari lapan orang kepada 200 orang. Di samping itu, kilang tersebut juga menyediakan peluang kerja untuk penduduk dengan menikmati jaminan sara hidup minimum dan juga peluang kerja kepada orang kurang upaya. Tindakan Abdul Rahman telah menjadi teladan yang baik kepada syarikat lain di Xinjiang.

Baru-baru ini, Abdul Rahman merancang untuk mengeksport pakaian ke negara Asia Tengah. Katanya,

"Saya merancang menjual pakaian yang berciri etnik kepada negara asing berdasarkan dasar keutamaan kerajaan."

CRI/-

Tiada ulasan: