12 Jun 2010

Anwar, Kit Siang sertai muktamar PAS

28 Jamadil Akhir 1431 H

KOTA BHARU, 11 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang menjadi antara tetamu penting dalam muktamar PAS ke 56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat sini.

Kedua-duanya berjalan masuk bersama para pemimpin utama PAS yang diketuai Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta lain-lain pimpinan utama.

Turut sertai muktamar kali ini adalah para pemimpin kanan gerakan Islam seluruh dunia termasuklah dari Hamas yang sedang berdepan dengan tentera Zionis Israel sekarang.

Sebelum masuk ke dewan, Abdul Hadi telah memeriksa pembarisan Unit Amal dengan diiringi pasukan gendang Rebana Ubi Kelantan.

Dewan Muktamar Putik penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati serta tetamu dari luar negara. Tahun ini, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menghantar wakilnya buat pertama kalinya menyertai muktamar kali ini.

Sembilan wakil Hamas yang di ketuai Dr Munir Syed Garada turut menyertai muktamar ini walau masih lagi bertembung dengan tentera Zionis Israel.

Turut menjadi sebutan Pengerusi Tetap, Haji Abu Kassim Abdullah adalah sebahagian dari wakil NGO Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel ketika mereka menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Majlis menjadi meriah dengan lagu nasyid Kelantan yang dinyanyikan sebaik sahaja pemimpin duduk selepas berdiri menghormati lagu Negaraku dan lagu PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika memberikan ucapan berkata, ini adalah kali ke - 5 Muktamar PAS diadakan di Putik. Sebelum ini muktamar pernah diadakan di Markas PAS Kedah di Kota Sarang Semut, pada tahun 2008 di Stadium Indramulia, Ipoh manakala tahun lepas di Stadium Malawati Shah Alam.

"Langkah ini diambil supaya ahli dan penyokong kita dapat bersama pemimpin dalam majlis sebegini," kata Mustafa.

Muktamar kali ini juga menjadi sejarah kerana buat pertama kalinya disertai oleh DHPP yang baru sahaja dibentuk pada tahun ini.

Mustafa dalam ucapannya juga meminta semua ahli PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum ke 13 yang bakal diadakan tahun 2011 iaitu tahun depan secepatnya atau selewatnya tahun 2012 kerana BN takut dengan angka 13 dan ia tidak akan diadakan pada tahun 2013.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: