12 Jun 2010

Pemuda Pas: Jangan baharui lesen premis judi

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

Dewan Pemuda PAS Pusat (DMPP) menggesa kerajaan negeri Pakatan Rakyat supaya memberi komitmen untuk memerangi jenayah judi dengan tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian yang beroperasi di bawah "wilayah penguasaan mereka".

"Lantaran kami yakin, pengundi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat adalah untuk Pakatan Rakyat melakukan perubahan, menjaga serta memelihara tanahair dan seluruh penghuninya dari terjebak dalam kancah mungkar seperti judi yang mampu membinasakan tamaddun ummah," kata Nasrudin Hasan dalam teks ucapan dasarnya di muktamar Dewan itu di Kota Bharu hari ini.

Beliau juga turut membaca sepotong ayat al-Quran dari Surah Surah al Maaidah, ayat 90hingga 91 untuk mengukuhkan hujahnya.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada kerajaan pusat pimpinan Umno dan BN dalam menyuburkan amalan mungkar judi yang keji itu.

"Negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mesti dilihat lebih baik dan mulia berbanding kerajaan Umno dan BN dengan terlebih dahulu memberi contoh dan tauladan kepada mereka," katanya

Nasrudin berkata, dewan itu memberi komitmen 200 peratus untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama yang membenarkannya.

"Kini rakyat mula tertanya-tanya, agama apakah yang sedang dianuti oleh kerajaan Umno dan BN tatkala mereka meluluskan lesen perjudian ini .

"Kami turut melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan menteri agama, penasihat agama dan mufti-mufti dalam negara kita membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini," katanya.
Dalam teks ucapannya juga, Nasrudin turut mencadangkan penubuhan pusat dialog antara agama dan peradaban, melalui Lajnah Perpaduan Nasional.

Katanya, pusat ini akan mempergiatkan aktiviti dialog dengan masyarakat bukan Melayu supaya berkongsi harapan dengan PAS ke arah Malaysia yang sejahtera, adil, saksama dan diampunkan oleh Allah.

"Pusat ini juga akan melahirkan lebih ramai pemuda yang akan menyemarakkan lagi kegiatan dialog, selain turut menjalin hubungan dengan badan-badan seumpama itu sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa seperti The Centre for the Study of Terrorism yang dipelopori oleh Dr Kamal al-Helbawi," katanya.

Nasrudin turut mengajak perwakilan termasuk pencinta Islam dari kalangan agamawan dan NGO untuk menggembleng tenaga bagi "menegakkan keadilan Rabbani dan meruntuhkan kezaliman golongan yang melampaui batas".

"Gemblengan tenaga saudara-saudara semua begitu penting untuk meningkatkan sokongan Melayu-Islam sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus kepada PAS.

"Demikianlah juga kepada para pencinta Islam dari kalangan para agamawan dan NGO. Saya yakin, saudara semua menyedari bahawa Umno bukanlah selayaknya menjadi sandaran untuk mempertahankan Islam sebagai manhaj Rabbani, sebaliknya telah terbukti mengkhianati amanah Allah dan menzalimi rakyat," katanya.

Nasrudin berkata, Umno adalah sebuah bahtera Melayu yang hampir karam, malah disifatkan oleh mantan presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad: “Umno kini telah busuk sehingga ke ususnya”.

"Manakala PAS semakin dilihat bersedia untuk menggalang-ganti kedudukan itu dengan mengajak seluruh masyarakat Melayu kembali kepada manhaj Rabbani yang menjamin kesejahteraan, keadilan dan kesaksamaan kepada seluruh manusia.

'Jom sertai PAS'

"Maka dengan ini, saya juga mengambil kesempatan menyeru kepada Datuk Nakhaie Ahmad, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Ahmad Shabery Chik, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan seluruh ahli-ahli Umno yang pernah berkongsi cita-cita menegakkan keadilan berasaskan manhaj Rabbani supaya kembali ke pangkuan perjuangan kita bersama, dengan panggilan Jom Sertai PAS," katanya.

Dalam teks ucapannya juga, Nasrudin turut menggariskan "agenda menyelamatkan negara" antaranya dengan "mengekang penyusupan agen-agen asing khususnya proksi Zionis dari menerobos masuk ke negara".

"Bagi kami, Dewan Pemuda PAS, berita mengenai kerajaan Malaysia yang telah menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa sangatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.

"Dewan Pemuda PAS tidak boleh bertolak ansur dengan pelantikan firma asing semata-mata untuk membersihkan imej kepimpinan negara yang tercalar di peringkat antarabangsa, betapa pula syarikat APCO yang dilantik sangat diragukan kredibilitinya kerana mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis Israel," katanya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS menyelar tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian itu ketika kekejaman rejim Israel dan penderitaan di Palestin terutamanya Gaza masih tiada kesudahan seperti yang diperakui oleh semua pihak.

"Serangan darat dan udara oleh rejim Isreal tanpa henti ke atas ummat Islam Palestine bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda, tetapi kehilangan ribuan nyawa yang tidak berdosa tanpa mengenal usia dan jantina.

"Terbaru dunia dikejutkan oleh serangan kejam tentera udara Israel ke atas Armada Freedom Flotilla yang sarat dengan bantuan makanan dan ubat-ubatan," katanya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: