12 Jun 2010

Wakil PAS Perak, Kedah dan Terengganu bahas

28 Jamadil Akhir 1431H.
Harakahdaily

PENGKALAN CHEPA, 11 Jun: Muktamar PAS kali ke-56 pada sebelah petang ini diteruskan dengan perbahasan ucapan dasar presiden.

4.53 petang: Perwakilan Kedah, Ustaz Ahmad Izzat Mohd Shauki sedang membahaskan ucapan dasar presiden.

Beliau menyeru semua pimpinan PAS di semua peringkat menonjolkan keadilan Islam agar PAS dilihat hebat oleh kawan dan lawan.

Pimpinan dan ahli PAS juga digesa menjaga rahsia parti bagi mengelakkan PAS dilihat berbalah sesama sendiri.

"Sekarang semua orang tahu nak jatuhkan Umno perlu naik kapal PAS", katanya.

PAS perlu mempunyai satu mekanisma mengurus kepelbagaian pandangan denga baik agar dilihat bersepakat.

Beliau juga menggesa pimpinan semua peringkat perlu wala' kepada pimpinan walaupun perkara tersebut tidak disukai.

Berhubung PRU-13, beliau mencadangkan calon Pakatan Rakyat ditapis sebelum dipilih bagi mengelak gejala lompat parti.

Selain itu beliau juga mahu pemimpin PAS memberi pandangan tuntas berhubung isu lompat supaya PAS dilihat memandang berat isu tersebut.

PAS juga katanya perlu menggunakan strategi yang disenangi semua kaum pada PRU-13.

4.26 petang: Perwakilan Perak, Drs. Khalil Idham Lim mengemukakan usul tahniah dan penghargaan serta menyokong ucapan dasar presiden.

Beliau berkata keadilan Islam terserlah dengan kehadiran DHPP pada muktamar kali ini sekaligus membuktikan sifat Islam sesuai untuk semua bangsa.

Beliau juga berkata Umno telah membawa malapetaka dahsyat apabila telah menghapuskan tulisan jawi, merobohkan sekolah agama dan meluluskan lesen judi.

Beliau berjanji Pakatan Rakyat Perak akan bekerja kuat merampas kembali pemerintahan negeri Perak.

Dalam pada itu beliau mencadangkan semua pimpinan PAS termasuk ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri berusaha menyampaikan mesej 'PAS for All'.

"Kalau bukan Islam berbondong-bondong menyokong PAS, kenapa orang Islam tak mahu menyokong PAS", katanya.

Beliau turut membentangkan beberapa cadangan yang boleh dilakukan oleh PAS untuk membantu Palestin.

"PAS perlu memainkan peranan yang lebih serius bagi memastikan hak rakayat Palestin dikembalikan kerana rakyat Malaysia masih kabur mengenai penderitaan rakyat Palestin", katanya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan seberapa ramai pendakwah disediakan bagi memberikan penjelasan mengenai masjid Al-Aqsa di Palestin yang ditawan oleh rejim zionis Israel.

4.05 petang: Perwakilan Terengganu Saiful Bahari Mamat menyokong ucapan terima kasih kepada kepada ucapan dasar presiden yang dikemukakan Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah sebentar tadi.

Beliau mengucapkan tahniah kepada PAS yang berjaya mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Beliau berkata golongan bukan Islam telah menerima kepimpinan Ulama' dalam PAS. Ini ujarnya merupakan satu kejayaan PAS membuang momokan yang digunakan Umno Barisan Nasional untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat.

Beliau menyeru pimpinan PAS mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain termasuk pimpinan Pakatan Rakyat bagi memastikan parti terus kukuh.

Beliau turut menggesa agar tarbiyah di kalangan pimpinan dikukuhkan bagi mengelak isu lompat parti.

"Yang lompat bukan ahli biasa tapi di kalangan pimpinan", katanya.

PAS sebagai parti government in waiting digesa mewujudkan hubungan baik dengan istana dan Sultan.

PAS Terengganu juga katanya yakin dapat mengambil alih pemerintahan negeri itu dan meminta pimpinan PAS mereka strategi.

Tiada ulasan: