12 Jun 2010

Hazizul dapat RM3,000 setelah lukisannya terpilih logo muktamar

28 Jamadil Akhir 1431 H

KOTA BHARU, 11 Jun: Logo muktamar PAS ke 56 yang dilukis oleh Hazizul Hakim Mohd Jais telah membolehkan beliau membawa balik RM3,000 dari muktamar PAS hari ini.(Gambar: Hazizul menerima mok cek bernilai RM3,000 selepas logo ciptaannya terpilih)

Lukisan Hazizul telah dipilih memenangi pertandingan itu dan kini logo yang dilukis beliau telah digunakan sebagai logo muktamar PAS.

Hari ini Hazizul menerima mok cek beliau dari Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan disaksikan puluhan ribu manusia khasnya yang berhimpun di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik).

Di samping penyerahan cek untuk Hazizul, pentas muktamar PAS PAS kali ini juga menyaksikan pelbagai produk PAS di perkenalkan kepada hadirin.

Harakah melalui anak syarikatnya Telesign Comunication Sdn Bhd memperkenalkan telefon bimbit yang memuatkan pelbagai maklumat tentang PAS dan Islam.

Turut dibentang di pentas muktamar adalah beras organik yang dikeluarkan oleh Sunah Tani yang dihasilkan di sawah padi organiknya di Tunjung.

Turut menerima cenderahati khas berupa beras organik itu Presiden PAS sendiri di samping Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Lim Kit Siang.

(Gambar: Nik Aziz menyerahkan beras organik yang dihasilkan Sunah Tani kepada Presiden PAS)

Sunah Tani adalah projek padi organik yang diusaha atas inisiatif Datuk Husam Musa, Exco kerajaan negeri Kelantan. Ia kini sedang dikembangkan di seluruh negara khasnya di Kelantan sendiri.

Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali pula memperkenalkan Squad Prihatin dan Jejak Kasih untuk menghadapi gejala buang bayi yang sedang melanda negara ini. Squad ini akan masuk secara langsung kepada kumpulan ini untuk membimbing dan menyelamat mereka.

Presiden PAS juga melancarkan rekabentuk baru Dinar Emas untuk mempopularkan lagi penggunaan emas sebagai mata wanng atau bahan simpanan yang lebih stabil.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: