03 Jun 2010

Isteri syukur suami selamat

19 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Ismail Hashim

SHAH ALAM, 2 Jun: Semua isteri sukarelawan mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah sebaik mendapat khabar tentang suami mereka selamat selepas kapal yang mereka naiki, Mavi Marmara diserang tentera rejim haram Israel pagi kelmarin.

Isteri Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Haji Jamuliddin Elias, Puan Rosfazilah Mohd Nor dan isteri wakil Muslim Care, Abdul Halim Ridzuan, Puan Nurdalela Abdul Alim ketika dihubungi menyatakan kegembiraan ekoran perkembangan itu.

Mereka mendapat berita itu daripada Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) dan Sokongan Keluarga Misi LL4G Malaysia, Zulkifli Mohd Nani petang semalam.

(Gambar:atas Nurdalela dan anaknya, Humaira)

Menurut Puan Rosfazilah, khabar selamat dari Saudara Zulkifli tentang keselamatan semua sukarelawan Malaysia itu bertambah lagi apabila pihak Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa mereka pulang.

Katanya, rombongan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Dr Abd Rani Osman seramai lapan orang yang baru pulang dari Turki datang ke kediamannya kami sebaik mendarat dari sana, semalam.

Puan Nurdalela pula bersyukur dan menyatakan terima kasih di atas sokongan kawan-kawan beliau dan suami yang datang menziarahi keluarganya siang semalam.

Petang kelmarin, di dalam sidang akhbar yang mereka hadiri, isteri-isteri sukarelawan Malaysia ini tetap perlihatkan semangat kental meski nasib suami mereka masih lagi belum terjamin selamat.

Namun dengan berkat didikan suami dan jemaah perjuangan Islam yang setiap mereka turut dokongi, menjadikan jiwa mereka kebal, tetap dan tegap.

Kesempatan mendengar luahan rasa isteri Ketua Delegasi Malaysia, Haji Noorazman Mohd Shamsudin, Puan Mazlina Ghazali (kiri), Puan Rosfazilah dan Puan Nurdalela menyerlahkan kekuatan dalaman yang dimiliki.

Mereka masih mampu menzahirkan semangat kuat dan daya juang tinggi melalui perkataan mereka di hadapan hadirin termasuk warga media yang mengikuti perkembangan terkini di dalam sidang akhbar itu.

Beliau bersama empat isteri sukarelawan lain dan dua anak peserta konvoi menyatakan isi hati mereka dalam sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel dekat sini.

Memang ketika itu, nasib suami-suami mereka masih tidak dapat dipastikan sama ada selamat, tertembak atau diapa-apakan oleh zionis Israel.

Kapal yang mereka naiki, Mavi Marmara yang dinaiki sekitar 800 sukarelawan dari 50 negara telah ditembak dalam jarak 65 km di dalam perairan antarabangsa.

Puan Mazlina berkata, mereka semua adalah yang terpilih oleh Allah SWT untuk ke sana dan mereka tetap tabah dalam usaha membantu rakyat Gaza yang telah tiga tahun terpenjara.

Beliau sering berhubung dengan suaminya melalui e-mel dan telefon untuk mengetahui perkembangan terkini suaminya dan sukarelawan yang lain.

Pagi kelmarin, jelasnya, kali terakhir beliau dihubungi suami yang memberitahu ada helikopter berlegar di udara dan kapal mereka dikepung.

“Namun selepas itu hingga kini tiada sebarang hubungan lagi dan saya faham tugas suami sebagai ketua menjaga keselamatan semua sukarelawan," tegasnya.

Rosfazilah pula berkata, beliau memang sentiasa tabah apatah lagi suaminya, Jamuliddin asyik berkata-kata tentang ‘hendak syahid, hendak syahid’ sahaja.

“Saya pasti beliau tidak bergurau dalam hal-hal seumpama itu, jadi kami sekeluarga memang sudah pasrah dan menerima jika apa sahaja kemungkinan bakal berlaku.

“Malah beliau tertinggal pula peralatan penting seperti kamera dan kad pengenalan, hari Jumaat lepas sebelum kapal utama mereka berlepas merupakan kali terakhir saya dapat bercakap dengan suami,” jelasnya.

Pasangan Rosfazilah, 44, kelahiran Sungai Petani, Kedah dan Haji Jamuliddin, 47, dari Batu Pahat, Johor mempunyai 10 cahayamata; Nurul Fathi, 21 belajar di IPDA, Mohd Nur Fathi, 19, Ahmad Afiq, 17, Nur Izzati, 15, Danial Fakri, 13, Farhan Faris, 11, Yasmin Zahira, 9, Luqmanul Hakim, 7, Hassan Nasrullah, 4 dan Nur Hanzalah, 3 bulan.

Beliau menyebutkan pendirian suaminya tentang perjuangan Islam yang mereka bersama yakini ini akan berakhir dengan dua perkara sama ada syahid atau menang.

Menurutnya, suaminya sering mengingatkan tentang kematian yang mesti diingat setiap hari dan bukan hanya ketika berlakunya konvoi ini sahaja.

Namun bila terjadinya peristiwa ini, mereka sekeluarga lebih mendekatkan diri kepada ketentuan Allah SWT yang telah mengaturkan semua perkara di Luh Mahfuz.

“Anak-anak pula tidak banyak kerenahnya kerana mereka udah acap kali ditarbiyah oleh bapa mereka dan sering kali mengikuti program khusus bersama Unit Amal sejak kecil lagi.

“Jadi bila ditinggalkan begini, mereka sudah terasa seperti biasa sahaja sebab sudah biasa sangat ditinggalkan oleh bapa mereka yang berminat dengan kerja-kerja lapangan,” tegasnya bersemangat.

Bagi Nurdalela pula berkata, “Jangan bawa pulang mayat abang” adalah antara amanat suaminya, Abdul Halim sebutkan tatkala meninggalkan mereka sekeluarga pada 17 Mei lalu.

"Jangan bawa pulang mayat abang, Jangan bawa pulang mayat abang", ucapan itu masih terngiang-ngiang. Malah bila berita konvoi Flotilla Kemanan diserang, ia menjadi semakin kuat memukul gegendang telinga.

Perkara itu didedahkannya dalam sidang akhbar yang inisiatifnya dibuat CMT selepas kapal utama itu dibedil Israel. Penuh sesak bilik sidang itu dengan warga media dan pendokong NGO berkaitan.

Pasangan Abdul Halim, 40, dari Sungai Besar dan Nurdalela, 34, dari Sabak Bernam tinggal di Meru mempunyai tiga cahayamata, Mohd Taufik, 14, Mohd Shahril, 12 dan Hanis Humaira, 2 tahun.

“Sebelum pergi suami menjemput semua berkumpul saudara mara termasuk ibunya, Siti Fathonah Murad, 54 dan beliau meminta maaf dan menyebutkan kesungguhannya untuk ke Gaza.

“Kali terakhir kami bercakap pada hari Khamis jam 10 malam ketika beliau akan berlepas ke Gaza dengan kapal Mavi Marmara dan katanya, akan hubungi lagi jika selamat di Gaza.

“Kami berpegang teguh dengan takdir-Nya, jika ada jodoh, kami jumpa lagi, kami redho dan bersedia hadapi apa sahaja kemungkinan, sebagai orang Islam, kita mesti ingat mati dan beliau meminta maaf pada semua,” ujarnya lagi.

Anaknya pula, Humaira yang juga kerap ditinggalkan kerana bapa aktif di lapangan berkata, “abah pegi kerja naik kapalterban”’ lantaran sudah biasa kerana bapanya memang sebelum ini pergi pagi dan balik malam.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ade ke kt tv3 td dia ltk yayasan amal tulis jadi yayasan alias..ape da..