15 Jun 2010

Nasharuddin tempelak profesor minta PAS tukar nama

1 Rejab 1431 H
Oleh: Wartawan Kita

KOTA BHARU, 13 Jun: Ustaz Nasharuddin Mat Isa mencadangkan seorang profesor institusi pengajian tinggi menukar namanya terlebih dahulu sebelum menuntut PAS menggunakan nama baru kerana membenarkan calon bukan Islam bertanding mewakili parti itu.

"Ada seorang profesor mahu PAS tukar nama kerana membenarkan orang bukan Islam menjadi calon.
Sebelum dia meminta PAS tukar nama lebih baik nama dia sendiri ditukar terlebih dahulu.

"Tafsiran yang dibuat profesor itu kononnya PAS sudah mengadai prinsip kerana telah hilang keasliannya adalah tidak benar," kata Timbalan Presiden PAS itu pada penggulungan ucapan dasar presiden petang ini.

Sedangkan kata beliau keputusan untuk membenarkan bukan Islam bertanding menggunakan lambang PAS dibuat Majlis Syura Ulama selepas memperhalusi perkara itu sejak sekian lama.

Beliau berkata, profesor terbabit menyebut PAS telah menggadaikan prinsip, sedangkan Islam sebenarnya bukan milik satu kaum sahaja.

"Kalau Islam hanya untuk satu kaum sahaja maka lebih aula Islam milik orang Arab kerana Islam diturunkan di negara berkenaan. Sebenarnya perkembangan terbaru yang berlaku dalam PAS amat membimbangkan Umno," katanya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, Prof Datuk Dr Zainal Kling mencadangkan PAS menggugurkan perkataan Islam kerana membenarkan calon bukan Islam bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum akan datang

Pada ucapan yang sama Nasharuddin menyahut cadangan seorang perwakilan supaya Timbalan Presiden atau Presiden PAS berdebat dengan pemimpin tertinggi Umno dalam isu kelulusan lesen judi bola sepak.

"Saya meminta persetujuan muktamar hari ini untuk berdebat dengan Timbalan Presiden Umno. Tan Sri
Muhyiddin Mohd Yassin mengenai isu kelulusan lesen judi bola.

"Tugas kita membuat penjelasan sama ada melalui debat dengan pemimpin tertinggi Umno atau cara lain. Saya cabar Timbalan Presiden Umno untuk berdebat isu judi pada bila-bila masa sahaja," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: