02 Julai 2010

16.5 juta saman bernilai RM2.7 bilion gagal dikutip

18 Rejab 1431 H

Kira-kira RM2.7 bilion daripada 16,529,848 saman tertunggak lalu lintas gagal dikutip kerajaan antara tahun 2000 dan 2008, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Daripada jumlah itu, majoriti adalah saman polis sebanyak 15,220,358 manakala yang lain melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 470,983 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak 838,507 saman.

"Bagi saman yang dikeluarkan tahun lepas sehingga kini, ia adalah saman aktif yang masih menjadi saman kitaran semula," katanya ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Nor mahu tahu jumlah kutipan saman yang gagal dikutip kerajaan sehingga April tahun ini.

Abdul Rahim berkata bagi memastikan saman tertunggak tersebut dikutip, beberapa pendekatan termasuk menyekat urusniaga seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu berdasarkan peruntukan Seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemandu yang tidak dapat dikesan.

Usaha lain yang dilakukan ialah memperuntukkan kira-kira RM282 juta bagi menambah baik sistem pungutan pengkomputeran JPJ yang dikenal pasti masih berkapasiti rendah bagi membolehkan kapasiti pungutan ditingkatkan.

"Kita juga menyediakan perkhidmatan online bagi pembatalan sekatan dan penyenaraian hitam di antara JPJ dan agensi lain khususnya PDRM dan mewujudkan pusat sehenti supaya pembayaran saman boleh dilakukan di mana-mana selain pembayaran secara online dan kad kredit," katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang mencadangkan supaya saman itu dihapuskan, Abdul Rahim berkata cadangan itu sukar untuk dipertimbangkan.

"Kutipan saman bukan hanya bertujuan mendapatkan hasil tetapi juga bagi meningkatkan persepsi ditangkap di kalangan pengguna jalan raya agar mereka lebih berhati-hati," katanya.

Malaysiakini/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam
Sekarang ni tak bayar saman tak boleh bayar rosd tax. Ini tak adil,sepatutnya beri pilihan kepada rakyat dahulu samaada nak bayar saman atau nak bawa bicara di mahkamah, mungkin pengguna tak puas hati terhadap saman, yang kebanyakannya saman ekor.