24 Julai 2010

Jawapan Bala diserahkan kepada SPRM

11 Syaaban 1431 H
Oleh: Joseph Sipalan

Jawapan penyiasat persendirian P Balasubramaniam berhubung senarai soalan yang dikemukakan kepadanya telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dalam bentuk pengakuan bersumpah.

Ia diserahkan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, petang ini melalui peguamnya, Americk Singh Sidhu yang juga akan merujuk kepada suruhajaya berkenaan sama ada maklumat yang terkandung sebagai pengakuan bersumpah itu boleh didedahkan kepada umum.

Ini kerana senarai soalan yang dikemukakan kepada Balasubramaniam di London, dua minggu lalu telah ditandakan sebagai 'rahsia'.

"Seperti yang diketahui, semua jawapan telah diperakukan di London oleh pesuruhjaya sumpah, tetapi kita tunggu dulu,” katanya sambil menunjukkan beberapa dokumen yang tebal.

Soalan berkenaan dihantar untuk Balasubramaniam melalui perkhidmatan kurier selepas SPRM menarik balik janji mereka untuk menghantar pegawainya ke London untuk mencatatkan kenyataan penyiasat persendirian itu.

SPRM sedang menyiasat dakwaan bahawa beberapa tokoh memaksannya menarik balik pengakuan bersumpah yang dibuatnya berhubung pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Antara mereka yang didakwa itu termasuk adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak – Nazim dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Selepas kejadian itu, Balasubramaniam melarikan diri ke luar negara tetapi mengeluarkan lebih banyak kenyataan yang mengejutkan terhadap Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan juga menuduh bekas pegawai khas perdana menteri, Datuk Nasir Safar berada di lokasi kejadian apabila Altantuya diberkas oleh polis.

Meskipun SPRM telah membatalkan wawancara yang dijadualkan itu, Balasubramaniam dan peguamnya tetap menunggu di tempat yang di jadualkan iaitu di Leinster Gardens, Holiday Villa, kota London.

Peguamnya yang hadir termasuk Americk dan Manjit Singh Dhillon dan mereka ditemani oleh ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan bloger Raja Petra Kamarudin.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: