24 Julai 2010

Kelantan jalin kerjasama erat dengan Acheh

11 Syaaban 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

ACHEH (Indonesia), 22 Julai: Kerajaan Kelantan mengadakan kerjasama dua hala khususnya dalam bidang ekonomi dengan pemerintah wilayah autonomi Islam Acheh.

Rombongan kerajaan negeri yang tiba di sini petang semalam diketuai anggota Exco, Datuk Husam Musa. Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir Mustafa Salleh.

Husam yang Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, kunjungan ke wilayah berkenaan bertujuan menjalinkan kerjasama lebih rapat terutamanya dalam bidang ekonomi.

Pagi tadi Husam bersama rombongan mengunjungi wakil Gabenor Wilayah Acheh, Muhammad Nazar.

“Pada pertemuan ini kerajaan Kelantan menjemput Gabenor Wilayah Acheh, Irwandi Yusof menghadiri majlis pelancaran matawang syariah Dinar Dirham Kelantan pada Ogos depan di Kota Bharu.

“Kerajaan Kelantan akan melancarkan Dinar Dirham selepas Emas Dinar Kelantan sudah berada di pasaran sejak 2006,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan tersebut di pejabat Gabenor.

Pada majlis itu Husam turut menyampaikan taklimat berhubung pengoperasian Dinar Dirham serta perkembangan lain berkaitan pembangunan ekonomi Kelantan.

Sebelum itu Muhammad Nazar mengalu-alukan kedatangan delegasi dari kerajaan Kelantan kerana sudi mengunjungi mereka.

Selepas pertemuan tersebut Husam diserbu lebih 20 wartawan dari pelbagai agensi berita tempatan bagi mendapat gambaran perkembangan ekonomi, politik dan kerajaan Kelantan.

Rombongan tersebut disertai 11 delegasi itu dijangka berada di Acheh selama tiga hari. Turut serta engarah Urusan PMBK Sawit, Ramli Abu Bakar dan pegawai kanan anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: