30 September 2010

Banjir

20 Syawal 1431 H
Oleh: khairul azman sakri

GRIK: "Sudah 70 tahun umur makcik dan makcik tinggal di sini inilah baru kali pertama kena banjir besar sehingga makcik terpaksa naik ke tingkat atas tidak sempat menyelamatkan barang-barang.

"Biasanya air naik akibat limpahan air Sungai Kulim itu hanya setakat tenggelam pekarangan depan rumah saja, tidak sampai masuk ke dalam rumah," kata Harisun Alang Mat Nordin, 70..

Harisun yang tinggal bersendirian di dalam rumahnya di Kampung Air Panas dekat sini, adalah seorang daripada lebih 70 mangsa banjir kilat di dua kampung termasuk Kampung Padang Kunyit yang terletak bersebelahannya selepas hujan lebat lebih sejam mulai jam 6.30 petang 26 September lalu.

Katanya, dalam keadaan tidak tahu hendak berbuat apa-apa itu dia akhirnya terpaksa bergegas naik ke tingkat atas untuk menyelamatkan diri.

Ketika air masuk ke dalam rumah kira-kira jam 8 malam itu, katanya dia masih berada di tikar sembahyangnya untuk menunggu waktu Isyak.

Sebaik menyedari air masuk ke dalam rumah dengan pantas, katanya lagi dia segera menerpa meja telefonnya dan sempat menelefon anaknya yang tinggal di Grik.

"Sebaik menelefon anak, makcik jadi tidak tahu hendak berbuat apa-apa, pegang itu tidak kena pegang ini tidak kena kerana air masuk dengan cepat.

"Akhirnya makcik bergegas naik ke tingkat atas kerana hendak menyelamatkan diri," katanya ketika Ziarah Kemanusiaan (ZK) dua hari berturut-turut bersama Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria ke kawasan di landa banjir kilat itu pada 27 dan 28September.

Turut menyertai ZK Ketua Dewan Muslimat PAS Lenggong, Hajjah Hapipah Saman, Komender Unit Amal Malaysia Kawasan Lenggong, saudara Ahmad Ramdzi Othman Jalaluddin serta lebih 20 anggotanya termasuk dari Kawasan Gerik.

Harisun berkata, air berlumpur kuning kemerah-merahan itu mencapai paras tertinggi hingga 1.2 meter di dalam rumah kira-kira jam 12 tengah malam.

Katanya, kerugian kerana banjir akibat limpahan air Sungai Kulim itu lebih RM5,000 apabila pelbagai barangan perabut di dalam rumah musnah.

Seorang warga emas lagi, Rodhiah Kadir, 75, berkata dia bernasib baik kerana anak-anak ada bersama dan sempat membantu, bagaimanapun pelbagai perabut di dalam rumahtidak dapat diselamatkan kerana air naik dengan pantas.

"Tidak pernah jangka sama sekali banjir besar seperti ini akan berlaku dan berlakunya dengan pantas kerana sebelum ini hanya air naik pada paras tidak sampai masuk dalam rumah," katanya.

Seorang mangsa lagi, Zalmah Zakaria, 57, berkata, mereka sekeluarga kerugian hampir RM10,000 apabila dua peti ais, dua mesin basuh, sebuah komputer, beberapa karpet, tikar, lima buah almari musnah.

Katanya, selain pelbagai perabut terbabit, ratusan buku serta majalah dan lain-lain milik anak-anaknya musnah tidak sempat diselamatkan.

Selain lebih 70 penduduk terdiri daripada 20 keluarga di dua kampung itu, banjir lumpur terbesar sejak 70 tahun lalu itu juga mengakibatkan karpet Masjid Air Panas rosak apabila air melimpah separas 0.1 meter atas lantainya.

Sementara itu, Razman berkata, PAS Lenggong turun menziarahi mangsa-mangsa banjir serta menyampaikan bantuan berupa beras, gula, teh, kopi dan sardin serta kain pelekat dan kain batik.

Katanya, selain bantuan ala kadar itu, beliau serta rombongan yang dipandu pimpinan PAS Cawangan Air Panas dan Padang Kunyit turut memberikan bantuan kemanusiaan termasuk membersih rumah serta menziarahi pesakit mangsa banjir.

Tiada ulasan: