03 September 2010

Memasuki hotel yang laksanakan syariah compliant

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Nazri Abdullah

Dalam pemikiran masyarakat kita, bidang perhotelan lazimnya disinonimkan dengan perkara-perkara negatif. Sebut sahaja 'hotel' pelbagai imej mula digambar di benak pemikiran termasuk ruang bar dengan botol araknya, pelacur-pelacur kelas atasan serta aktiviti perjudian.

Jika pun tanggapan sesetengah pihak tidak sampai ke situ, namun 'hotel' tetap dipalit sedikit sebanyak dengan unsur kemaksiatan dalam aspek-aspek tertentu.Sekali berkunjung dan menetap di mana-mana rangkaian hotel De Palma, mungkin paradigma anda terhadap bidang perhotelan akan berubah.

Malah mungkin anda juga mampu membuat kesimpulan bahawa anda bukan berada di hotel, tetapi di sebuah pusat Islam atau tidak keterlaluan untuk dikatakan seperti menginap di sebuah masjid.

Melangkah masuk sahaja ke hotel ini, anda tidak akan bertemu dengan seorang pun pekerjanya khususnya perempuan muslim yang tidak menutup aurat.

Semuanya bertudung dan berpakaian kemas sesuai dengan kewajipan menutup aurat yang difardhukan.

Selain itu, suasana persekitaran lobi yang mendamaikan bercirikan Islam turut dihidangkan kepada pengunjung.

Jangan terkejut jika anda tiba tepat dengan masuknya waktu solat, anda akan mendengar laungan azan berkumandang seolah-olah memenuhi ruang lobi hotel.

Ianya bukan alunan azan dari kaset atau cakera padat yang dipasang, tetapi alunan muazzin (tukang azan) serta imam yang dilantik khusus di surau milik hotel tersebut.

Di bilik hotel pula, pengunjung turut dibekalkan dengan telekung solat wanita, kain sarung solat lelaki, sejadah, Al-quran serta tasbih sebagai memenuhi keperluan seorang muslim untuk beribadah dengan selesa.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga menyediakan buku-buku dan risalah agama sebagai bahan bacaan.

Ianya termasuk perihal kewajipan solat, dosa meninggalkan solat dan beberpa peringatan lain.

Menatap sahaja muka anda di cermin, anda terlebih dahulu akan melihat 'Doa Melihat Cermin' yang ditampal di satu sudut cermin tersebut.

Bagitu juga sebelum anda meletakkan kepala di bantal, anda terpaksa mengalihkan dahulu sekeping kertas yang mengandungi tazkirah (peringatan) mengulas beberapa potong ayat al-Quran, dan sebelum menutup butang lampu, anda diperlihatkan dengan 'doa sebelum tidur' yang dilekatkan disebelahnya.

Menurut Pengurus Besar rangkaian hotel De Palma Datuk Mohd Ilyas , De Palma menjadikan surau sebagai pusat perkembangan perniagaan mereka khusus dalam usaha memenuhi konsep pematuhan syariah atau syariah compliant.

Di De Palma Ampang, empat orang imam tetap dilantik pihak hotel bagi menghidupkan surau sebagai pusat perkembangan Islam di hotel tersebut.

Antara program tetap disurau hotel termasuklah solat fardu setiap waktu secara berjemaah, tadarrus al-Quran, solat Jumaat, tazkirah setiap selepas solat, tahlil dan beberapa program semasa yang lain.

Surau hotel ini juga turut diberi amanah mengumpul dana untuk rumah anak-anak yatim.

Menurutnya, pematuhan syariah bukan sekadar memenuhi kod operasi halal dari aspek pengurusan mahupun penyediaan makanan, namun lebih penting katanya adalah membina peribadi muslim termasuk pekerja dan pengunjung agar mematuhi syariat Allah.

"Tinggal di De Palma tanpa meninggalkan ibadah, kerja di De Palma sambil memperbetul ibadah," katanya.

Pembinaan peribadi muslim jelasnya dibentuk bermula dari perkerja mereka yang kini mencecah 300 orang.

Mereka diberi faham tentang agama dan dilatih agar ikhlas dalam melaksanakan tugas serta mengikut sunnah Rasulullah s.a.w iaitu menjaga dan melayan tetamu dengan baik.

Selain itu, De Palma juga mengambil pendekatan menggunakan setiap ruang yang ada untuk menyebar dakwah bukan sahaja kepada pekerja malah kepada tetamu mereka.

Dengan moto 'Memantapkan Pematuhan Syariah', Datuk Mohd Ilyas boleh berbangga kerana De Palma adalah hotel pertama di Malaysia malah di Asia yang mengamalkan kosep tersebut secara keseluruhan.

Biarpun tidak menolak resiko yang ada, namun beliau percaya perubahan ke arah mematuhi syariat tidak akan membawa kerugian apatah lagi sebagai saham akhirat.

"Saya pada mulanya risau juga nak buat perubahan namun dengan cekal hati saya teruskan juga.

"Saya yakin kalau rugi pun Allah akan ganti balik. Alhamdulliah sambutan setakat ini sangat menggalakkan.

"Buat kerja agama orang tak berani tegur, orang nak tiru banyak dan saya lebih suka kalau orang nak tiru kami," katanya lagi.

Sehingga kini De Palma mempunyai empat rangkaian hotel iaitu Ampang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Sepang. Pada penghujung tahun ini, mereka akan membuka sebuah rangkaian baru di Kuching, Serawak.

Sempena Ramadhan ini, De Palma menawarkan pelbagai pakej. Antaranya Pakej Qimullaail yang berharga RM114 sahaja untuk dua orang. Pakej ini adalah untuk bilik dan sahur untuk dua orang.

De Palma juga menawarkan pakej berbuka puasa iaitu RM120 sahaja seorang dengan syarat minimun dua orang sebilik. Pakej ini termasuklah bilik, berbuka puasa, jamuan morey selepas Terawih dan bersahur.

Melalui kedua-dua pakej ini, kita boleh berehat di hotel di samping berterawih, mendengar tazkirah di samping mengadakan qimulail pada malamnya dengan penuh ketenangan.

Rangkaian hotel De Palma di miliki oleh PKNS iaitu perbadanan yang terletak di bawah kerajaan negeri Selangor. Ia diuruskan oleh Biztel, syarikat pengurusan hotel yang dimiliki penuh bumiputra.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Raziq Najab berkata...

SYABAS DAN TAHNIAH ATAS KEJAYAAN INI!!!
SEMOGA ALLAH MEMBERI KEBERKATAN ATAS USAHA2 MEREKA YANG TERLIBAT.
HOTEL2 MILIK MUSLIM YANG LAIN BILA LAGI NAK IKUT SAMA?