14 November 2010

11.3 PERATUS RAKYAT SAKIT MENTAL

07 Zulhijjah 1431H.

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci termasuk mengenal pasti tahap kesihatan mental suspek lelaki kes amuk menggunakan pedang samurai yang mencederakan sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki di Rumah Pangsa Alor Akar, Kubang Buaya, Kuantan, kelmarin.

Naib Presidennya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sekiranya laporan kesihatan mendapati lelaki itu menderita kerana penyakit kemurungan, Kementerian Kesihatan harus mengambil perhatian serius dengan menyebar maklumat lebih meluas mengenai sindrom itu serta langkah bagi menangani pesakit mental.

Beliau berkata, kajian menunjukkan 11.3 peratus daripada 26 juta rakyat di negara ini mempunyai masalah mental dan sekiranya golongan itu tidak diberikan rawatan sempurna, dikhuatiri lebih ramai akan menjadi mangsa. Saya perhatikan trend jenayah dilakukan golongan itu (tertekan dan kemurungan) sering dilaporkan kebelakangan ini. Difahamkan, mereka akan bertindak ganas tanpa disedari sekiranya tidak makan ubat kerana mungkin tidak cukup wang atau lupa mengambilnya.

Ahli keluarga juga perlu lebih peka dengan tahap kesihatan saudara mereka yang mempunyai masalah kemurungan dan kelihatan suka bersendirian. Nasihatkan mereka mengambil ubat pada masa ditetapkan bagi mengelak pesakit bertindak di luar kawalan, katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin, sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun parah dengan ibu jari tangan kirinya hampir putus selepas ditetak dengan pedang samurai oleh seorang lelaki tidak dikenali di rumah mereka.

http://www.bharian.com.my

Tiada ulasan: