15 Disember 2010

Du Si Hu Bei

09 Muharam 1432H

Rubah Berdukacita Atas Kematian Arnab

Asal Usul:

Pada suatu masa dahulu, seekor rubah dan seekor arnab telah menjalin hubungan rapat untuk mempertahankan diri daripada ancaman musuh bersama, iaitu pemburu. Mereka bersumpah akan sehidup semati menghadapi susah atau senang.

Pada suatu hari, si rubah dan si arnab ini bersiar-siar untuk menikmati keindahan pemandangan alam. Tanpa disedari mereka, sekumpulan pemburu sedang memerhatikan gerak geri mereka. Perlahan-lahan, pemburu itu mendekati mereka sambil menyiapkan anak panah masing-masing. Malang sekali nasib, si arnab, ia telah terbunuh. Si rubah juga nyaris mati.

Selepas pemburu tersebut meninggalkan tempat itu, si rubah pun berlari ke sisi si arnab sahabatnya itu, sambil meratap dengan sedihnya.

Kebetulan, ketika itu, lalu seorang tua di tempat itu. Dia berasa sangat hairan ketika melihat seekor rubah meratap dengan begitu sedih di sisi seekor arnab yang sudah mati. Maka, dengan rasa ingin tahu, dia bertanya kepada si rubah itu,

"Mengapa kamu begitu sedih?"

Si rubah menjawab dengan murung,

"Kami berdua ini ialah haiwan kecil yang menjadi sasaran pemburu. Kami pernah bersumpah akan sehidup semati bersama menghadapi susah atau senang. Sekarang, dia telah dibunuh oleh pemburu itu. Kematiannya hari ini bermakna kematian saya pada esok hari. Kami berdua ialah teman yang sejati. Tentulah saya sangat sedih."

Selepas mendengar kata-kata si rubah, orang tua itu mengeluh panjang, sambil berkata,

"Oh begitu! Memang wajarlah kamu berdukacita atas kematian sahabat karib kamu ini."

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Du Si Hu Bei" yang berasal daripada cerita tentang rubah yang berdukacita atas kematian arnab yang menjadi teman rapatnya ini membawa erti, seseorang itu akan berasa sedih dan pilu atas kematian atau kemalangan yang menimpa sahabat karibnya.

CRI/-

Tiada ulasan: