16 Disember 2010

Pembaziran Yang Berterusan Majlis Daerah Batu Gajah

10 Muharam 1432H
Oleh : YB V.Sivakumar

Baru-baru ini Majlis Daerah Batu Gajah telah menurap kawasan tempat letak kereta kakitangan dengan perbelanjaan yang agak besar. Jumlah kos perbelanjaan itu adalah lebih kurang RM95,000. Tetapi tidak sampai satu bulan terdapat kecacatan dalam kawasan yang diturap itu. Ini menunjukkan pihak Majlis tidak memantau kerja-kerja penurapan tersebut.

Jika terdapat kecacatan dalam projek yang dilaksanakan dalam kawasan Bangunan Majlis Daerah itu sendiri, apatah lagi dengan kawasan-kawasan lain yang berada di luar. Itulah sebabnya terdapat banyak masalah dan kecacatan dalam projek-projek infra struktur yang dibina disekitar Batu Gajah.

Pihak Kerajaan Tempatan tidak boleh berperanan untuk hanya meluluskan sesuatu projek dan mengeluarkan tender semata-mata. Apabila kontrator telah dipilih, pihak Majlis harus juga memantau kerja-kerja yang dijalankan dari awal hingga akhir.

Projek-projek Majlis Daerah dibuat dengan wang taksiran yang dikutip daripada rakyat. Dalam kata lain, wang itu adalah wang rakyat. Oleh yang demikian, pihak Majlis Daerah Batu Gajah harus berhemat dalam membelanjakan wang tersebut. Bukan sekadar membuat projek untuk membantu kroni-kroni yang ada hubungan rapat dengan pihak berkuasa tempatan.

Dalam kes ini, siapakah akan menanggung kos memperbaiki tempat yang rosak. Persoalannya, jika premix yang digunakan itu tidak tahan sampai satu bulan, bagaimana pula selepas satu tahun? Sudah pasti keseluruhan tapak yang diturap itu akan rosak.

Dalam keadaan itu, pihak Majlis akan mengeluarkan tender sekali lagi untuk memperbaiki tapak itu selepas satu tahun. Ini merupakan satu pembaziran yang sudah pasti akan berlaku.

Premix yang digunakan untuk menurap kawasan tempat letak kereta itu adalah berkualiti rendah. Dalam pada itu, kerja-kerja penurapan juga tidak kemas bagaikan cakar ayam. Pihak Majlis Daerah Batu Gajah tidak boleh menyalahkan pihak lain kerana pemilihan kontraktor dibuat oleh mereka sendiri.

Oleh yang demikian, Majlis Daerah Batu Gajah harus lebih bertanggungjawab dalam membelanjakan wang rakyat.

Saya juga berasa kesal kerana berpuluh-puluh ribu wang dibelanjakan untuk memperbaiki dan menaik taraf kawasan dan bangunan Majlis Daerah Batu Gajah, sedangkan tedapat banyak masalah-masalah rakyat yang tidak dipedulikan langsung dengan alasan tidak cukup peruntukan.

Rakyat perlu didahulukan, tetapi Majlis Daerah Batu Gajah menunjukkan sikap yang berlainan. Projek-projek menaik taraf banguanan Majlis Daerah itu bukan membawa apa-apa manfaat kepada orang ramai.

Aduan-aduan yang diterima daripada orang ramai harus diberi perhatian sebelum membelanjakan wang bagi projek-projek yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat jelata.

Tiada ulasan: