16 Disember 2010

KITA tiada impak kepada 'kita' - Zaid

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Pakatan Rakyat menyifatkan kewujudan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), yang diterajui Datuk Zaid Ibrahim, tidak akan memberi sebarang impak terhadap landskap politik negara, terutamanya ke atas perikatan tiga parti itu.

Semalam Zaid yang juga bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dipilih sebagai presiden Kita yang sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) sebuah parti politik yang berpangkalan di Kelantan.

“Saya tak nampak apa impak yang boleh diberikan oleh Kita,” kata Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

Menurut Nasharudin, Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP mempunyai rekod pentadbiran yang baik selain mempunyai pengalaman dalam politik negara.
“Pakatan Rakyat telah punya ‘track record’ dalam mengurus negeri, menerima cabaran tentangan yang berbagai dari Umno-BN (Barisan Nasional) dan juga telah dikenali oleh rakyat.

“Perjuangan kami untuk rakyat dan bukan untuk individu,” kata Ahli Parlimen Bachok itu kepada The Malaysian Insider.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula berkata, pemilihan Zaid sebagai Presiden Kita adalah hak demokrasi dan rakyat boleh menyokong mana-mana parti politik yang mereka mahu.

“Pertama sekali pemilihan Zaid sebagai presiden Kita adalah hak demokrasi ahli parti yang kami hormati.

“Kedua kami yakin kepada hikmah dan penilaian rakyat untuk menyokong mana-mana parti sebagai hak demokrasi yang kami junjung.

“Ketiga kami yakin bahawa sokongan rakyat bukan sahaja berterusan, malah bertambah terhadap agenda muafakat rakyat serta prestasi kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat yang berjaya merakyatkan ekonomi dan memulihkan harapan demokrasi walaupun diserang, disekat dan difitnah oleh BN sudah tentu mengalukan sumbangan semua pihak termasuk parti Kita di dalam memperkayakan arena politik,” katanya.

Beliau juga berkata, kewujudan mana-mana parti politik boleh menyumbang kepada usaha memperkukuhkan asas demokrasi negara.

“Tidak kira fahaman parti politik, kami menyeru agar semua parti politik bekerjasama untuk membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi untuk menyelamatkan negara yang menghadapi krisis ekonomi, sosial dan politik dan di ambang kemerosotan mendadak yang terus memiskinkan dan membebankan rakyat.

“Setiap rakyat berhak, harus dibenarkan menyertai proses demokrasi,” kata beliau sambil menambah, kehadiran mana-mana parti politik yang berniat memperkukuh asas demokrasi negara “kita dialu-alukan.”

“Bagi saya, yang lebih afdhal kini ialah reformasi sistem pilihan raya kita, seperti yang diangkat gerakan Bersih 2.0, hanya dengan pilihan raya yang lebih adil dan telus, maka demokrasi negara kita akan semakin pulih, insya-Allah,” kata Nurul Izzah (kanan) yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Beliau turut menegaskan, masa depan Pakatan Rakyat akan terjamin sekiranya kredibiliti terus dijaga.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, Zaid mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja termasuk menyertai mana-mana parti politik.

“Itu hak beliau (Zaid), kalau nak masuk (parti) terpulang kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Bernama pula melaporkan, Hanafi Hamat yang mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden Akim yang sah berkata beliau tidak mengiktiraf atau bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penukaran nama baru bagi parti itu iaitu Kita seperti yang diputuskan dalam mesyuarat penubuhannya semalam.

Akim merupakan sebuah parti politik yang ditubuhkan lebih 15 tahun lalu mempunyai prinsip perjuangannya yang tersendiri untuk menyatupadukan umat Islam di seluruh negara, katanya.

Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Baru berkata, parti baru yang diterajuinya itu tidak akan menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau mengambil alih kepimpinan Akim daripada presidennya Zakaria Salleh.

Hanafi berkata, mereka yang cuba menukar nama parti itu kepada nama baru, seolah-olah mencabul hak Akim sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

“Ini sebagaimana terkandung dalam perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Mereka yang cuba menghidupkan Akim dengan nama lain, seolah-olah melelong parti itu kepada pihak lain untuk kepentingan peribadi mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab dengan tindak tanduk segelintir anggota Akim yang terlibat dengan penubuhan parti Kita bagi menggantikan nama asal Akim serta berniat untuk menggulingkannya.

Hanapi juga berkata, beliau tetap menganggap dirinya sebagai Presiden Akim yang sah walaupun ada pihak lain mendakwa diri mereka Presiden Akim.

Sebelum ini Bernama melaporkan Pengarah Pendaftaran Pertubuhan Kelantan, Wan Rahimah Wan Hamat mengesahkan Hanapi kekal menjadi Presiden parti Akim berikutan kemelut perebutan pihak lain terhadap jawatan itu sehingga menjejaskan penubuhan parti berkenaan.(MalaysianInsider)

Tiada ulasan: