16 Disember 2010

SPRM jumpa petunjuk baru kerugian MAS

10 Muharam 1432H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan penemuan terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung kerugian MAS sebanyak RM8 bilion sebagai permulaan berita gembira.

Salahuddin memberitahu, pihak SPRM menghubungi beliau hari ini dan memaklumkan penemuan siasatan yang didakwa melibatkan bekas pengerusi MAS, Tajudin Ramli.

"Saya baru sahaja dihubungi SPRM yang memaklumkan mereka telah menemui penemuan baru dalam siasatan kes ini," kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Salahuddin yang juga ahli jawatankuasa khas mengenai rasuah yang dilantik di bawah Parlimen juga berkata, usaha beliau membongkar kes itu sejak setahun yang lalu itu mula menunjukkan hasil walaupun banyak pihak memperlekehkan usahanya.

"Apa yang saya perjuangkan setelah dilantik dalam jawatankuasa ini nampaknya menunjukkan perkembangan positif walaupun ada pihak yang berkata usaha saya ini sia-sia,"katanya.

Beliau berharap SPRM terus melakukan siasatan terhadap kes yang merupakan kes kedua terbesar selepas Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang didedahkan oleh ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang selama bertahun-tahun.

"Saya mengambil iktibar daripada Ipoh Timur yang bertahun-tahun membawa isu FKFZ di Dewan Rakyat.

"Jadi saya harap SPRM terus menunjukkan kesungguhan dalam siasatan kes kerugian MAS ini," katanya.

Menurutnya, sejak setahun lalu,selain kepada SPRM,beliau juga menghantar surat kepada jawatankuasa kira-kira wang negara (PAC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: