16 Disember 2010

Liwat II: Anwar sokong minta campur tangan Agong

10 Muharam 1432H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghalang keluarga pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan meminta campur tangan Yang di-Pertuan Agong supaya menyegerakan perbicaraan kes tersebut.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, tindakan itu wajar disokong kerana sudah sampai masanya peranan institusi mahkamah diperbetulkan dan bebas daripada sebarang karenah birokrasi.

"Saya setuju telah sampai masa dan ketikanya institusi yang kita muliakan sebagai tunggak perlembagaan negara melihat karenah proses mahkamah sekarang ini.

"Saya tidak ada masalah menyegerakan semua ini cuma yang melambatkan ialah kerana dokumen tidak diberikan, nota doktor sampai sekarang tidak diberikan,senarai saksi belum diberikan.Kalau mahu menyegerakan kita setuju," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata, kes beliau tidak harus dibezakan dengan kes-kes yang lain yang mana semua bahan bukti boleh dikemukakan.

"Pilih hakim yang benar, berani dan adil dan bebas dan pendakwa yang profesional, beri bahan bukti dan keterangan seperti mana dalam kes jenayah lain yang biasa.

"Dalam kes ini, inilah kali pertama di mana nota doktor disekat begini rupa dan bukti tidak dibawa, spesimen DNA sila kemukakan dan kita boleh segerakan," katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamir Khir Baharom yang mebuat bantahan terhadap permohonan beliau supaya Saiful didakwa mengikut qazaf.

"Kedudukan mahkamah syariah jangan dikhianati oleh menteri agama Datuk Jamil Khir. Mengapa pendakwaan ditahan?

"Saya ada kertas pendakwaan tapi Datuk Jamil Khir,Menteri agama Umno mengkhianati tugas dan amanah ini dan mencemarkan nama baik mahkamah syariah dan kedudukan Yang Dipertuan Agong sebagai ketua agama Wilayah Persekutuan.

"Bolehkah seorang menteri Umno guna kuasa menyekat pendakwaan? Kalau betul nak guna jasa baik campur tangan Yang Dipertuan Agong, sila betulkan fitnah jahat pendakwaan di Mahkamah Sivil.

"Pendakwaan ditahan oleh menteri agama Umno yang sepatutnya faham agama dan Islam dan mahkamah syariah yang mendakwa kononnya merekalah tunggak yang mempertahankan syariah Islam," katanya.

April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom untuk membatal permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.

Dengan itu, Anwar tidak boleh meneruskan permohonannya untuk mengarahkan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain mendakwa Saiful dengan tuduhan qazaf kerana mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR.

Semalam Azlan Mohd Lazim menyerahkan surat luahan hati kepada YDPA untuk menarik perhatian baginda supaya kes yang dibicarakan disegerakan.

Harakahdaily/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuanku Mizan berjiwa rakyat ke?
Baginda tak tidur ke dari hal2 rakyat ni?
Membisu or duduk diam saja tengok propaganda BN menindas rakyat, memainkan kedaulatan parlimen... tak nampak apa2 usaha baginda.

Tanpa Nama berkata...

Kita doakan agar Tuanku Mizan diberi hidayah dan kekuatan serta keberanian untuk meletakkan kebenaran pada yang hak