05 Januari 2011

Aduan pembalakan haram tidak diendah menteri

30 Muharram 1432H.
Saifzahran

KENINGAU, 5 Jan: Aktiviti pembalakan haram mengakibatkan penduduk kampung Batu Luriyan Sook berdepan pencemaran sumber air apabila sungai utama di kampung itu kini mengalirkan air lumpur.

Dalam aduan kepada Harakahdaily mereka mendakwa, aktiviti itu sudah berlarutan sejak hampir setahun lalu dan kini menyukarkan penduduk di kampung itu.

Lebih mengecewakan ujar mereka, kawasan Batu Luriyan tersebut adalah di dalam Parlimen Persiangan iaitu di bawah Tan Sri Joseph Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Mereka mendakwa aktiviti pembalakan haram itu tidak menghiraukan peraturan dan undang-undang sedia ada dengan melakukan aktiviti pembalakan di tanah hutan simpan kerajaan.

Masalah mereka turut mendapat perhatian PAS kawasan Keningau yang turun membuat tinjauan bersama penduduk pada 2 Januari lalu..

Mereka diketuai Yang Dipertua PAS Kawasan, Hisammuddin Sulaiman yang turun padang bersama Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul latigu beserta beberapa Ahli Jawatankuasa yang lain.

Hishammudin dalam responnya ketika lawatan itu berkata, beberapa aduan telah dibuat kepada pihak kementerian yang juga ahli parlimen kawasan tersebut, namun tidak diendahkan.

"Kegiatan pembalakan haram tersebut jelas menceroboh tanah hutan simpan yang telah digazetkan kerajaan, apatah lagi tindakan haram tersebut mengakibatkan pencemaran bekalan air penduduk.

"Yang menghairankan Tan Sri Joseph Kurup tidak lansung mengendahkan aduan walaupun beliau Timbalan Menteri yang jaga alam sekitar,” katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: