05 Januari 2011

Khalid : Sidang khas DUN Selangor hujung bulan ini.

30 Muharram 1432H.
themalaysianinsider

SHAH ALAM, 4 Jan – Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kuasa lantikan tiga pegawai eksekutif kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar akan diadakan hujung bulan ini.

Khalid berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di sini petang kelmarin.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, Khalid juga berkata, majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Khusrin Munawi di hadapan Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri akan ditunda sehingga keputusan dicapai pada sidang DUN tergempar itu.

“Walaupun secara sah SUK telah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tapi kita masih belum anggap ia sah kerana belum mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar dan Exco.

“Dalam pertemuan hari ini juga kita bersetuju ia (majlis angkat sumpah) ditunda sehingga dibuat keputusan dalam sidang DUN yang akan kita adakan dalam masa terdekat dicapai.

“Kita mungkin akan buat sidang DUN dalam minggu ketiga sebelum minggu keempat bulan ini, jadi kita ada tiga minggu buat persediaan,” kata Khalid sambil berkata, sudah menyerahkan surat kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi membincangkan semula pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Saya telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan untuk membincangkan semula mengenai pelantikan SUK.

“Kita ingin perkara ini diperbetulkan dengan konsep ada beberapa kuasa dalam pelantikan jawatan tertinggi di negeri Selangor,” kata Khalid.

Sebelum ini, Khalid berkata, kerajaan negeri akan mencadangkan sidang DUN tergempar untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Pada sidang media itu juga, Khalid sekali mengulangi pendiriannya tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah Khusrin di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ini.

“Saya telah dinasihatkan supaya tidak hadir,” katanya.

Khalid juga berkata, Khusrin boleh menjalankan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, namun tidak beroperasi sepenuhnya.

Minggu lalu Mohd Sidek mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung Khamis ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cadangan MB untuk adakan sidang tersebut mesti dipuji & disokong walaupun ianya memerlukan sokongan dari wakil rakyat dari UBN.. Jika UBN tak sokong... jelaslah UBNlah penentang sultan.

Mari kita lihat siapa yang kena..

Moga Allah memberkati usaha MB.