05 Januari 2011

NGO ancam bakar buku teks 'Interlok'

30 Muharam 1432H.
Oleh : Salhan K Ahmad

Sebuah gabungan NGO masyarakat India mengancam untuk mengadakan satu upacara membakar novel Interlok sekiranya buku karangan sasterawan negara Datuk Abdullah Hussain itu tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian daripada teks sastera SPM.

Pengerusi Gabungan NGO India Malaysia Datuk A Vaithilingam (ketiga dari kanan) berkata, tindakan itu akan diambil sekiranya kerajaan tetap berdegil untuk tidak menarik balik ketetapan menjadikan buku tersebut sebagai teks komponen sastera untuk pelajar sekolah.

"Kita mahu kerajaan tarik balik kelulusan serta merta. Kita beri masa seminggu untuk mereka berbuat demikian," katanya dalam satu sidang media hari ini.

'Tak perlu panggil pariah'

Tambahnya, isu yang dipertikaikan bukanlah penggunaan istilah "pariah" yang digunakan dalam Interlok yang ditulis Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (bawah, kiri) itu.

"Isu yang sebenar adalah (tindakan) memperkecil-kecilkan masyarakat India (melalui buku tersebut).

"Anda perlu ingat, interpretasi yang diberikan di dalam buku ini tidak boleh diterima. Mungkin benar bahawa pekerja (dari India) dibawa untuk bekerja di sini, tapi anda tidak parlulah memanggil mereka dengan nama pariah dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, pengerusi bersama gabungan NGO berkenaan, K Arumugam pula berkata, perkara yang perlu diberi perhatian adalah kesan yang wujud dalam pemikiran pelajar, hasil daripada penggunaan buku berkenaan.

"Novel ini ditulis berdasarkan maklumat sejarah jadi ia perlu tepat. Jika gambarannya salah, ia merupakan satu bencana intelektual," katanya dalam sidang media yang sama.

Katanya, penulis novel berkenaan perlu menjalankan kajian mendalam sebelum ia diterbitkan untuk memahami latarbelakang sejarah yang berlaku ke atas masyarakat tersebut.

Beliau memberi contoh satu kertas berhubung satu kajian ke atas masyarakat India di kawasan bandar yang dijalankan antara tahun 1920 hingga 1940.

"Perkataan pariah langsung tidak disebut dalam kertas itu," katanya yang menjelaskan bahawa kertas berkenaan telah menjelaskan bagaimana masyarakat India dari golongan pekerja berubah menjadi golongan nasionalis.

"Kenapa perkara itu tidak dimasukkan (dalam Interlok)? Buku seperti ini perlu menjadikan kita bangga dengan negara ini, bukan memecah-belahkan kita," tambahnya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: