05 Januari 2011

PAS kutuk serang gereja Coptic Orthodox


30 Muharam 1432H.

KUALA LUMPUR, 5 Jan: PAS mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan ke atas gereja Coptic Orthodox di Iskandariah, Mesir beberapa hari lalu yang telah mengorbankan lebih 20 nyawa.

“Bagi pihak PAS, letupan bom yang dilakukan ke atas gereja tersebut sesuatu yang menyedihkan dan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Tegasnya, Islam melarang umatnya melakukan serangan ke atas mana-mana rumah-rumah ibadah walaupun di waktu tercetusnya peperangan.

Malah, jelasnya Allah SWT menegaskan di dalam Al-Quran supaya umat Islam tidak mencela berhala-berhala sembahan penganut agama lain.

Tambahan pula, katanya sebilangan besar golongan Kristian Coptic di Mesir ini sejak sekian lama bersama dengan komuniti antarbangsa dalam usaha membebaskan Palestin daripada penaklukan regim haram Israel.

Maka, kata beliau mereka sepatutnya diraikan dengan baik sebagaimana diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, tindakan memusnahkan rumah ibadat sebegitu adalah tindakan paling tidak bertamadun dan amat dikutuk oleh ajaran Islam.

“PAS mengharapkan insiden ini bukanlah satu sabotaj yang bertujuan untuk melaga-lagakan umat Islam dengan penganut Kristian.

“PAS juga berharap supaya penganut semua agama di Malaysia bersikap toleransi sesama mereka dengan meningkatkan kefahaman beragama sesama kita,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ia selaras dengan usaha untuk membangunkan negara yang harmoni yang diterima oleh semua.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: