01 Januari 2011

Industri Kereta Api Berkembang dengan Pesat

27 Muharram 1432H.

Sidang Kereta Api Laju Dunia Ke-7 yang dianjurkan oleh Kementerian Kereta Api China dan Persekutuan Kereta Api Antarabangsa (UIC) diadakan di Beijing Awal Disember tahun lepas. Sidang tersebut dimulakan pada tahun 1992 oleh UIC untuk memperlihatkan dan bertukar-tukar hasil pembangunan kereta api laju di dunia. Inilah kali pertama sidang ini diadakan di luar Eropah.

Para pakar berpendapat, beberapa tahun terakhir ini, China telah mencapai banyak hasil inovasi teknologi dalam industri kereta api laju, dan banyak antaranya yang telah mencapai tahap yang paling maju di dunia. Inilah sebabnya sidang kali ini diadakan di China. Naib Perdana Menteri China, Zhang Dejiang berkata,

"Sidang Kereta Api Laju yang diadakan di Beijing ini memperlihatkan sokongan UIC, pertubuhan antarabangsa yang berkenaan dan industri kereta api sedunia terhadap pembangunan industri kereta api di China, khususnya kereta api laju, dan mencerminkan perkembangan pesat industri kereta api di China, khususnya kereta api laju yang telah mendapat perhatian dan pengiktirafan yang meluas dari masyarakat antarabangsa."

Kini, China telah membentuk sistem pengurusan operasi kereta api laju yang sempurna yang dapat menjamin operasi yang berterusan dan selamat, pendapatan yang memuaskan, dan menyediakan perkhidmatan yang selamat, cekap, mesra dan juga murah, di samping mendorong pembangunan sosioekonomi yang pesat. Sekarang ini, setiap hari terdapat lebih 1000 buah kereta api laju "Harmoni" yang membawa kira-kira sejuta penumpang untuk bergerak di seluruh negara. Dengan beroperasinya sistem kereta api laju yang khusus membawa penumpang, kemampuan sistem landasan kereta api China mengangkut barang juga turut meningkat secara besar-besaran.

Menteri Kereta Api China, Liu Zhijun telah menjelaskan tentang hasil yang dicapai oleh China dalam pembangunan kereta api lajunya dalam majlis perasmian itu. Beliau berkata,

"Kini, landasan kereta api laju di China sudah mencecah 7,531 kilometer. Di samping itu, masih terdapat lebih 10 ribu kilometer lagi yang sedang dibina. Dalam uji cuba landasan kereta api laju Beijing-Shanghai yang diadakan pada 3 Disember yang lalu, kereta api laju baru yang dibuat oleh China telah membaharui rekod kelajuan kereta api dunia untuk kegunaan awam dengan mencapai kelajuan 486.1 kilometer sejam. China merupakan negara yang mempunyai teknologi kereta api laju yang paling lengkap. Kemampuan integerasi teknologinya paling tinggi, landasannyag paling panjang, kelajuannya paling pesat dan program pembinaan juga paling besar di dunia."

Perkembangan kereta api laju di China sesuai dengan keperluan pembangunan zaman. Sebagai sejenis alat pengangkutan yang baru, kereta api laju mempunyai kelebihan yang ketara dan telah menjamin pembangunan sosioekonomi China. Naib Perdana Menteri, Zhang Dejiang berkata,

"Perkembangan kereta api laju yang pesat telah memodenkan sistem kereta api China, meningkatkan kemampuan pengangkutan landasan kereta api, mengurangkan halangan terhadap pembangunan sosioekonomi akibat kurangnya kemampuan pengangkutan. Ia juga menggalakkan perkembangan pembuatan kemudahan, penyelidikan bahan baru serta pelbagai sektor perkhidmatan yang telibat. Perkembangan kereta api laju juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan inovasi teknologi, penyusunan semula struktur industri, mengurangkan penggunaan tanah, menjimat tenaga, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan memperbaiki kehidupan rakyat, dan telah memberikan keuntungan yang memuaskan dari segi ekonomi dan sosial."

Tiada ulasan: