12 Februari 2011

Perutusan PJ PAS Perak sempena Maulidur Rasul.

9 Rabiul Awal 1432H.

Setiap kali tiba bulan Rabiul Awal, umat Islam menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w. dengan pelbagai majlis dan acara. Di Malaysia, pelbagai agensi dan institusi, terutamanya masjid dan surau, mengadakan ceramah, perarakan, forum, kenduri dan lain-lain, demi memperingati kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W., yang telah membawa Islam yang menerangi jalan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (Wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman, dengan izin Tuhan mereka, ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 1)

Bagaimanapun perasaan bersyukur dan berterima kasih atas nikmat agung ini tidak seharusnya terhad dengan sambutan Maulidur Rasul semata-mata. Sesungguhnya sambutan Maulidur Rasul hanyalah sebagai peringatan akan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu setiap umat baginda, iaitu untuk meneruskan tugas Rasulullah S.A.W. memberikan petunjuk dan bimbingan kepada umat manusia, memimpin mereka ke arah jalan yang betul dan diredhai Allah. Kita sebagai umat Islam bertanggungjawab memimpin umat yang lain, bukan sebaliknya.

Islam merupakan agama yang bernyawa dan dominan dalam kehidupan. Ia bukan sekadar istiadat dan upacara kaku, sebagaimana agama-agama lain. Sebaliknya Islam adalah satu cara hidup yang dihayati dari tahap individu dalam kehidupan peribadi, sehinggalah ke tahap negara dalam hubungan antarabangsa. Islam pernah memerintah dan mentadbir urusan dunia. Umat Islam pernah menjadi pemimpin dan teladan bagi umat-umat yang lain. Pencapaian hebat itu adalah hasil apabila umat Islam mempraktikkan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Umat Islam mesti menjadi teladan bagi kaum-kaum lain, sebagaimana Rasulullah S.A.W. mencapai kedudukan dihormati kaumnya ketika baginda masih muda. Gelaran “al-Amin”, yang bermaksud dipercayai, adalah aset akhlak yang digunakan oleh baginda ketika melancarkan dakwahnya di bukit Sofa, “Apakah pandangan kamu jika aku katakan bahawa ada tentera berkuda yang sedang bersiap siaga di sebalik wadi ini untuk menyerang kamu, adakah kamu mempercayai aku?” Mereka menjawab: “Kami tak pernah melihat kamu berdusta”.

Justeru ketibaan bulan Rabiul Awal ini semestinya memberikan kita kesedaran betapa mengamalkan ajaran Islam sebenar dalam kehidupan peribadi, berkeluarga, masyarakat dan bernegara merupakan tuntutan yang amat mendesak ke atas umat Islam. Usaha ini perlu dimulakan dengan teladan daripada mereka yang bergelar pendakwah. Sesungguhnya dakwah yang paling berkesan ialah dengan tindakan dan contoh teladan. Kesan yang ditinggalkan oleh tindakan dan teladan ke dalam hati berkali ganda lebih hebat daripada kesan yang ditinggalkan oleh kata-kata nasihat.

Sempena sambutan Maulidur Rasul 1432 Hijrah ini, PAS Perak menyeru agar semua individu muslim, para pemimpin dan rakyat jelata, agar kembali menghayati akhlak Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Akhlak Islam adalah berasaskan akidah yang sejahtera. Tanpa akidah tauhid, sebarang perbuatan yang dipandang baik, sama ada dalam soal peribadi atau kepimpinan, merupakan akhlak yang pincang, kerana mengetepikan ketuhanan Allah Yang Maha Esa, Yang Maha Mengetahui perkara yang baik dan buruk bagi hamba-Nya. Seterusnya mantapkanlah akhlak itu dengan ibadah yang betul dan berterusan. Dirikanlah solat kerana ia mencegah perbuatan mungkar, tunaikanlah zakat kerana ia menyucikan jiwa dan harta, berpuasalah kerana ia membenihkan ketakwaan. Ibadah-ibadah sunat mampu memantapkan lagi akhlak seseorang hamba.

USTAZ ABU BAKAR HUSSAIN
(PESURUHJAYA PAS PERAK )

Tiada ulasan: