23 Mac 2011

Banjir: 134 penduduk di Perak dipindah

18 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

IPOH: Hujan lebat yang berterusan dan pelepasan air di Empangan Bukit Merah di Daerah Kerian sejak beberapa hari lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 311 penduduk di tiga daerah di Perak dipindahkan ke pusat pemindahan selepas rumah mereka dilanda banjir.

Daerah Perak Tengah merekodkan mangsa banjir tertinggi apabila 134 orang dipindahkan ke satu pusat pemindahan banjir, diikuti Kerian dengan 96 mangsa di tiga pusat pemindahan dan 81 mangsa di dua pusat di Hilir Perak.

Semua penduduk terbabit terpaksa dipindahkan selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air sedalam antara 0.5 hingga satu meter, sejak beberapa hari lalu.

Air dari Empangan Tasik Bukit Merah ke Sungai Kurau terpaksa dilepaskan melalui dua pintu air di Alur Limpah Selatan berikutan bacaan paras air empangan itu kelmarin mencecah 9.86 meter (dari paras laut) iaitu paras kritikal iaitu sedikit lagi mencecah paras bahaya (9.9 meter), sekali gus menyebabkan banjir di Kerian.

Malam tadi, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, meninjau kejadian banjir di Kerian yang membabitkan 25 keluarga di lima kampung iaitu Batu 40, Batu 38, Parit Mat Keling, Ban Abu Hassan dan Tebuk Panchor.

Semua mereka dipindahkan ke tiga pusat pemindahan setakat jam 4.30 petang, selepas rumah mereka dinaiki air sedalam satu meter. Mereka dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Merah, SK Haji Dahalan, Semanggol dan Dewan Orang Ramai Alor Pongsu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata hujan lebat berterusan di hulu kawasan tadahan seperti Selama, Ijok, Pondok Tanjung dan Batu Kurau menyebabkan air Tasik Bukit Merah meningkat ke paras kritikal. Berikutan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran terpaksa melepaskan air terbabit ke Sungai Kurau bagi mengelak benteng kolam pecah.

“Beberapa kampung lagi dijangka dinaiki air dan penduduk akan dipindahkan kerana hujan masih berterusan di kawasan tadahan, manakala paras air Empangan Bukit Merah masih kritikal,” katanya.

Sementara itu, 81 mangsa banjir di Hilir Perak membabitkan penduduk di Teluk Intan seperti Sungai Manik dan Labu Kubong dipindahkan selepas hujan lebat dan fenomena air sungai pasang sejak dua hari lalu.

Di Perak Tengah, banjir kilat sedalam 0.75 hingga satu meter di Kampung Parit 6, Layang-Layang Kiri, Bota, dekat Parit, malam kelmarin menyebabkan 115 penduduk daripada 24 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Agama Rakyat.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: