23 Mac 2011

Mangsa banjir Kerian meningkat 280 orang

18 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian dekat Ipoh meningkat daripada 88 orang semalam kepada 280 orang sehingga pagi ini.

Mereka yang dipindahkan terdiri 163 orang dari Kampung Alor Setangguk, 18 dari Kampung Batu 37 dan 38, 41 dari Kampung Parit Abu Hasan, 44 dari Batu 40 Bukit Merah, empat dari Kampung Parit Mat Keling, lapan dari Kampung Tebuk Pancur dan dua dari Kampung Perlis.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa banjir itu dipindahkan ke dewan Sekolah Kebangsaan Bukit Merah dan dewan-dewan orang ramai di Alor Pongsu, Batu 38 Parit Abu Hasan dan Batu 40 Bukit Merah.

Mereka dipindahkan sejak petang semalam hingga tengah malam tadi setelah kawasan kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.5 hingga 1 meter akibat langkah melepaskan air dari empangan Bukit Merah akibat hujan lebat sejak tiga hari lalu.

Mat Fauzi berkata jalan raya di Batu 38 Alor Pongsu-Selama turut ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air.

Operasi memindahkan mangsa banjir dilakukan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: