23 Mac 2011

Senarai hitam syarikat terlibat rasuah

18 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA, 23 Mac: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil segala tindakan ke atas semua bentuk jenayah rasuah di negara ini.

SPRM dalam satu kenyataan menyatakan tindakannya merangkumi siasatan ke atas maklumat jenayah rasuah, menjalankan pemeriksaan dan perundingan ke atas sistem dan prosedur sesuatu agensi bagi menutup segala ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah serta menasihati ketua badan awam tentang perubahan dalam amalan, sistem dan tatacara yang sesuai untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah sebagaimana peruntukan Seksyen 7 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

SPRM secara amnya telah membuat cadangan kepada Kerajaan Malaysia agar menyenarai-hitam, menggantung atau mengambil sebarang tindakan yang wajar ke atas mana-mana syarikat tempatan atau syarikat antarabangsa yang diketahui atau didapati melakukan perbuatan jenayah rasuah dalam memperoleh kontrak perkhidmatan, pembekalan atau pembangunan sama ada daripada agensi Kerajaan mahupun syarikat-syarikat milik kerajaan.

Pihak kerajaan pada dasarnya telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh SPRM.

SPRM secara khususnya juga telah membuat cadangan kepada pihak TM supaya syarikat antarabangsa ALCATEL-LUCENT SA termasuk anak syarikatnya ALCATEL-LUCENT Malaysia Sdn Bhd diambil sebarang tindakan yang sewajarnya kerana pengakuan yang telah dibuat oleh pihak ALCATEL di Amerika Syarikat mengenai pembayaran kepada konsultan di negara ini bagi mendapatkan marketing report and studies dan strategic intelligence report on Celcom’s positioning in the cellular industry in relation to its competitor yang mana dikatakan pihak konsultan berkenaan tidak mengemukakan kedua-dua laporan tersebut.

Cadangan penyenaraian-hitam, penggantungan atau sebarang tindakan ke atas syarikat tempatan mahupun syarikat antarabangsa adalah sebagai salah satu langkah pencegahan (deterrent) terhadap mana-mana syarikat yang terlibat dalam perbuatan jenayah rasuah bagi mendapatkan sebarang kontrak perkhidmatan, pembekalan atau pembangunan.

Cadangan yang dibuat kepada pihak kerajaan dan pihak berkaitan ini tidak sekali-kali menghalang atau menghadkan tindakan siasatan SPRM terhadap sesuatu kesalahan jenayah rasuah yang telah dilakukan.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

perjalanan pulang berkata...

kita bagi orang yang tak mahu terima tu kira bodohlah. Selagi ada cara itu rasuah tidak akan berakhir. Cari dulu kepala kepala besar yang suka terima rasuah.