02 Mac 2011

Kedegilan pemimpin Libya bakal buka pintu kepada penjajah Barat

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Apa yang diperlukan untuk memaksa Muammar Gaddafi melepaskan kuasanya?

Sedang saya menulis artikel ini pada 28 Februari 2011, media melaporkan Gaddafi sudah hilang kawalan ke atas kebanyakan wilayah di negaranya yang mempunyai 6.4 juta penduduk.

Kebangkitan rakyat menentang pemerintahannya selama 41 tahun merebak dengan cepat dari bandar kedua terbesar Libya, Benghazi ke pinggir ibu negara, Tripoli, iaitu benteng terakhir Gaddafi.

Tetapi jangankan hendak memenuhi tuntutan rakyatnya, pemimpin kuku besi yang pelik itu memilih untuk terus mencengkam kepada sisa terakhir kuasanya dengan menggunakan angkatan tentera, unit keselamatan khas, askar upahan dari pelbagai negara luar lain dan tentu sekali, ahli keluarganya.

Tindakan Gaddafi itu menyebabkan sebahagian besar pegawai kanan tentera, pegawai pentadbir kerajaan, anggota Kabinet dan diplomat memilih untuk berpaling tadah dan menyokong penunjuk perasaan.

Disebabkan tentera memilih untuk turut menentang, penunjuk perasaan kini mempunyai sumber senjata api sehingga menyebabkan pertempuran berdarah antara penyokong dan penentang Gaddafi di beberapa wilayah di Libya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 2,000 orang terbunuh dalam konflik yang dilihat sama seperti perang saudara ini.

Majlis Keselamatan PBB setuju sebulat suara untuk mengenakan sekatan perjalanan dan pembekuan aset ke atas Gaddafi dan kroninya.

Badan dunia itu turut mengenakan sekatan penjualan senjata api kepada Libya dan menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memulakan siasatan dan dakwaan ke atas Gaddafi berikutan pembunuhan orang awam di negara itu.

Sekatan dan tindakan yang diusulkan PBB hanya menyasarkan rejim Gaddafi dan tidak akan memberi kesan buruk kepada penduduk Libya.

Namun jika langkah itu tidak berjaya, pemimpin-pemimpin negara lain yang diketahui mempunyai hubungan baik dengan Gaddafi perlu cuba memujuknya supaya menghentikan pembunuhan rakyat sendiri dan berundur daripada pemerintahan.

Presiden Venezuela, Hugo Chavez, Perdana Menteri Turki, Recep Erdogan, Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair adalah antara mereka yang mampu menasihati Gaddafi.

Gaddafi perlu diyakinkan jika beliau menurut permintaan rakyat secepat mungkin, beliau mungkin akan dikenang berikutan beberapa kejayaannya yang membanggakan semasa dua dekad pertama pemerintahannya.

Antaranya adalah penutupan markas udara besar milik tentera AS di Libya pada 1970, pemiliknegaraan minyak dan peranan penting yang dimainkannya dalam penyusunan semula Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (Opec) sehingga membolehkan badan itu menjadi kartel berkuasa dan mampu mencabar dominasi Barat terhadap industri minyak dunia.

Tetapi Gaddafi memilih untuk mengamalkan pemerintahan autokratik yang berkisar kepada kepentingannya sendiri.

Struktur kerajaan yang sistematik tidak wujud di bawah pemerintahan kuku besinya.

Mungkin inilah sebab mengapa Gaddafi suatu masa dulu berbangga bahawa Libya adalah masyarakat pertama dalam sejarah yang tidak memerlukan kerajaan.

Salah satu kesan daripada pendekatan Gaddafi itu adalah kekecohan yang berlaku di lapisan masyarakat yang berlainan, yang saya alami sendiri semasa berkunjung ke Tripoli pada April 1980 untuk menghadiri ceramah yang akhirnya tidak jadi.

Pemerintahan kuku besi Gaddafi membuka ruang kepada masalah rasuah kronik dan nepotisme.

Dengan kekayaan minyak di Libya, ketiadaan konsep kebertanggungjawapan serta ketelusan, tidak hairan lah pada awal 1990-an, keluarga Gaddafi menjadi lubuk kuasa dan setiap perjanjian perniagaan besar dalam dan luar negara perlu mendapat kelulusan salah seorang daripada anaknya.

Kepentingan perniagaan keluarga mungkin menjadi salah satu sebab mengapa Gaddafi sanggup bermatian mempertahan kuasanya.

Jika Gaddafi enggan berundur di sebalik sekatan PBB dan nasihat rakannya, apa pilihan lain yang ada?

Beberapa pemimpin Amerika Syarikat (AS) seperti John McCain, Joseph Lieberman dan Paul Wolfowitz mencadangkan campur tangan langsung tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Namun tindakan itu bukan sahaja tindakan bodoh tetapi juga berbahaya.

Tindakan ketenteraan oleh AS dan Eropah hanya akan menyingkap semula memori pahit mengenai dasar penjajahan Barat terhadap Libya.

Ianya hanya akan menguatkan lagi cengkaman Gaddafi dan menjejaskan kesahihan perjuangan golongan anti-Gaddafi.

Campur tangan tentera Nato akhirnya akan mengakibatkan penjajahan yang mempunyai impak memusnahkan terhadap kebangkitan di dunia Arab yang masih berterusan di rantau itu sehingga hari ini.

Selain itu, penduduk di rantau Timur Tengah akan melihat sikap hipokrit terang-terangan jika campur tangan itu dibenarkan.

Jika menyelamatkan nyawa menjadi keutamaan, mengapa tiada satu pun kuasa Barat yang campur tangan bagi menyelamatkan rakyat Palestin di Gaza semasa Israel menyembelih penduduk tidak berdaya itu pada Januari 2009?

Jika AS dan Britain begitu terganggu dengan pembunuhan orang awam, mengapa mereka menyerang Iraq pada 2003 yang menyebabkan ratusan ribu penduduk Iraq tidak berdosa menjadi korban?

Sudah jelas, bukan nyawa penduduk Libya yang mahu diselamatkan golongan seperti McCain, Lieberman dan Wolfowitz.

Jika tindakan ketenteraan dipertimbang, ianya kerana kuasa besar Barat hanya menumpu kepada simpanan minyak di Libya.

Selepas Arab Saudi, Libya adalah pembekal minyak terbesar ke Eropah.

Pergolakan terbaru di Libya telah pun meningkatkan harga minyak dunia kepada AS$108 setong (RM328 setong).

Penganalisis industri itu khuatir jika aliran minyak dari Libya terhenti, harga komoditi itu akan mencecah AS$200 setong (RM607 setong).

Peningkatan ini akan menyebabkan kesan buruk kepada negara industri di Barat dan di seluruh dunia.

Selain itu, jika dibandingkan dengan negara pengeksport minyak lain, hanya 60 peratus kekayaan minyak Libya yang sudah dieksploitasi setakat ini.

Ini meningkatkan lagi daya tarikan untuk mereka yang mahu mengawal bekalan minyak untuk meneruskan penguasaan ke atas dunia.

Ini adalah salah satu sebab menarik - perlindungan terhadap kedaulatan negaranya sendiri - mengapa Gaddafi tidak patut berundur serta-merta.

Tetapi tentunya ia menjadi sesuatu yang ironik jika kedegilannya itu yang bakal menyebabkan dia secara tidak sengaja membuka pintu kepada penceroboh keji neo-kolonial.

Penduduk Libya dan dunia Arab, dan semua orang yang menghargai kebebasan dan kemerdekaan mereka tidak akan memaafkan Gaddafi.

* Dr Chandra Muzaffar adalah Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) dan
Profesor Pengajian Global di Universiti Sains Malaysia.

Sinar Harian/-

1 ulasan:

Abu Idris berkata...

1924 M - 2011 M, Malapetaka 87 Tahun Keruntuhan Khilafah

Negara Islam adalah Daulah Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah telah runtuh pada tahun 1924.

Lihatlah Blog Ar Rayah World News
http://ibnuyassir.blogspot.com/

Untuk mengetahui perkembangan terkini kebangkitan KHILAFAH.