02 Mac 2011

Pas dakwa BN langgar peraturan pilihan raya

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH - Dewan Pemuda Pas negeri akan membuat laporan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya melanggar Akta Pilihan Raya.

Pengarah Pilihan Raya Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelbagai janji dan peruntukan diberi oleh pemimpin BN, termasuk Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Perdana Menteri itu pernah menyatakan beliau hadir di DUN Kerdau bukan untuk membeli undi, tetapi untuk menawarkan pembangunan.

”Najib secara terang-terangan berkata, bahawa ‘Saya bukan hendak beli undi, tetapi kalau kamu sokong kami, saya akan tambah lagi peruntukan esok atau lusa”.

”Ini menunjukkan beliau cuba membeli rakyat dengan pelbagai imbuhan dan projek segera,” katanya dalam sidang media, semalam.

Tuan Ibrahim mendakwa, tindakan tersebut menyalahi peraturan pilihan raya.

”Perdana Menteri juga secara terbuka meluluskan peruntukan untuk Dewan Terbuka Kampung Seri Kerdau, Balai Bomba Sukarela dan kuil bernilai hampir RM650,000.

”Ini tidak termasuk hamper serta makanan yang diedarkan di Kampung Baru Kerdau oleh Menteri Kesihatan,” katanya.

Tuan Ibrahim, yang juga Naib Presiden Pas berkata, Pas harap tindakan diambil oleh SPRM dan SPR kerana ia bertentangan dengan Akta Kesalahan (Perjalanan) Pilihan Raya 1960.

Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di DUN Kerdau.

Projek berkenaan melihatkan kerja menaikkan taraf pam di loji air Batu Sawar dan mengganti paip dari Rumpun Makmur ke Kampung Kerai yang bernilai RM9.25 juta.

Beliau juga mengumumkan projek membina dewan terbuka yang mengandungi gelanggang serbaguna bagi masyarakat Cina di Kampung Sri Kerdau, bernilai RM400,000, membina kuil bagi masyarakat India (RM100,000) dan Balai Bomba sukarela (RM150,000).

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: