26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
PETALING JAYA: Nilai harta pusaka yang dibekukan berikutan kes gagal diselesaikan pewaris kerana ketiadaan wasiat kini dianggar mencecah RM42 bilion.
Ketua Pegawai Pemasaran, Amanah Raya Bhd (ARB) Ahmad Saruji berkata, anggaran itu meliputi kira-kira sejuta kes di negara ini.
Kajian ARB pula mendapati hanya dua peratus rakyat Malaysia menulis wasiat, yang membolehkan segala maklumat harta didaftarkan, sekali gus memudahkan urusan pembahagian, katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.
Katanya lagi, bagi membudayakan penulisan wasiat pada kalangan masyarakat, ARB dengan kerjasama syarikat pengurusan harta pusaka Islam, Warisan Mukmin Sdn Bhd melancarkan kempen 'Tahun Menulis Wasiat 2011'.
"Kami tidak mahu masalah ini bertambah lagi. Kempen ini akan diadakan sepanjang tahun ke seluruh negara untuk menyampaikan mesej kepentingan menulis wasiat sekali gus mengelakkan masalah lain yang timbul terutamanya keretakan institusi kekeluargaan," katanya.
Sempena kempen tersebut, orang ramai boleh memiliki dokumen wasiat bagi menguruskan pengurusan harta pusaka bernilai ribuan ringgit dengan hanya melibatkan kos permulaan serendah RM30 sebulan serta bayaran bulanan yang fleksibel.
Kempen tersebut yang bermula dari Januari hingga Disember tahun ini adalah untuk memudahkan masyarakat membuat wasiat sekali gus mengelakkan pembekuan harta dan perbalahan keluarga.
Sementara itu Pengerusi Warisan Mukmin Datuk Mohd Nahwari Hashim berkata syarikat itu mensasarkan pendaftaran 5,000 wasiat sehingga akhir tahun ini.
mStar/-
1 ulasan:
KENA HATI NI - DI ZAMAN NI HARTA YANG DIAMANAHKAN MENJADI REBUTAN - TAK KIRALAH DIBEKU ATAU TIDAK ...TGK KES DUIT KWSP DI NEGERI SEMBILAN ...YG PASTI IA AKAN DIBEDAL OLEH PIHAK TERTENTU DGN CARA YG SISTEMATIK.....SKRG PON TENTU ADA YANG YG BERCITA-CITA / BUAT PLANNING SCRA LEGAL NAK BUAT PINJAMAN KE , PELABURANKE ...TGK LAH NANTI
Catat Ulasan