22 Mac 2011

Rugi RM10,000 akibat dipukau

17 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUANTAN – Seorang kakitangan awam terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM 10, 000 akibat terpedaya dengan kad cabutan bertuah yang ditawarkan seorang wanita yang mengetuk cermin keretanya di tempat letak kereta, East Coast Mall, pada 24 Januari lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul, 29, berkata, pada mulanya dia enggan menerima tawaran itu, bagaimanapun, dia seolah-olah dipukau kerana hanya mengikut semua arahan yang diberikan.

“Setelah saya membuka kad cabutan bertuah itu, wanita tersebut memberitahu bahawa saya telah memenangi cabutan bertuah dan perlu ke pejabatnya untuk mengetahui hadiah yang dimenangi.

“Antara hadiah yang ditawarkan termasuklah kereta, motosikal, peti ais, tilam jed, set home theatre’ dan banyak lagi,” katanya ketika perbicaraan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), semalam.

Katanya, wanita tersebut turut memberitahu bahawa dia tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk menuntut hadiah yang telah dimenangi.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus mengikut wanita itu ke pejabatnya yang terletak di Jalan Haji Ahmad. Bagaimanapun, setelah sampai, saya diminta untuk membuat pembayaran sebelum menerima hadiah tersebut.

“Biasanya, sebelum mengeluarkan wang di bank, saya akan meminta izin daripada suami terlebih dahulu. Tetapi hari itu, saya langsung tidak menghubunginya, malah terus ke bank untuk mengeluarkan wang,” katanya.

Nurul berkata, setelah membuat pembayaran, barangan yang diterima tidak setimpal dengan wang yang diberi.

“Ketika itulah baru saya tersedar bahawa saya telah ditipu. Saya cuba merayu kepada pihak berkenaan untuk memulangkan bayaran yang telah diberi.

“Namun, pihak terbabit enggan berbuat demikian dengan alasan saya telah menandatangani borang perjanjian,” katanya.

Turut menjadi mangsa, Mohd Khairul Nizam Mansor, 26, yang kerugian sebanyak RM 6,000 akibat ditipu oleh syarikat yang sama.

Katanya, dia didatangi seorang lelaki berbangsa Cina ketika membeli-belah di Kuantan Parade dan menawarkannya kad gores dan menang.

Tertarik dengan tawaran pelbagai hadiah lumayan, Khairul Nizam sanggup mengikut lelaki tersebut ke pejabatnya untuk mendapatkan hadiah yang dijanjikan.

Perkara yang sama turut berlaku kepadanya, apabila dia dikehendaki membayar RM 6,000 sebelum menerima hadiah yang telah dimenangi iaitu tilam jed dan dapur digital.

Dalam perbicaraan kedua-dua mangsa, TTPM telah mengeluarkan perintah tribunal kepada syarikat terbabit untuk membayar ganti rugi kepada mereka.

Menurut kenyataan Presiden TTPM, Reihana Abd Razak, syarikat terbabit diarah membayar ganti rugi kepada kedua-dua mangsa dalam tempoh 14 hari dari tarikh perbicaraan bagi menyelesaikan tuntutan tersebut.

Pada masa yang sama, kedua-dua mangsa turut diarah memulangkan barangan yang diterima dalam tempoh yang sama sekiranya pihak syarikat telah membayar ganti rugi.

Bagaimanapun, ketika prosiding berlangsung, tiada wakil daripada pihak penentang yang hadir.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: