01 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -
PUTRAJAYA: Seramai 11 pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Port Dickson dimasukan ke wad Hospital Port Dickson akibat jangkitan Adenovirus dan H1N1 sejak 31 Mac lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata seramai 93 lagi pelatih Pulapol yang berpusat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Teluk Kemang, Negeri Sembilan itu diletakkan di bawah pengasingan di kem itu.
Liow berkata kesemua pelatih yang mendapat rawatan di hospital berada dalam kedaan stabil.
"Daripada 11 pelatih itu, enam pelatih disahkan dijangkiti Adenovirus manakala lima lagi H1N1. Kita mula mengesan jangkitan itu pada 31 Mac setelah menunjukkan simptom jangkitan virus berkenaan seperti demam panas dan batuk," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan kementerian itu di sini, Selasa.
Seramai 1,000 pelatih konstabel lelaki sedang menjalani latihan di kem Pusasda sejak awal Januari lepas.
Beliau berkata kementerian telah mengarahkan semua pusat latihan termasuk polis, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan lain-lain supaya mengutamakan kebersihan dengan mengamalkan cara hidup sihat.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan kematian tiga pelatih polis di Pulapol Jalan Semarak, Kuala Lumpur akibat jangkitan virus Adeno.
Sementara itu Liow meminta semua pusat hemodialisis di negara ini mematuhi peraturan dan Akta Kemudahaan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang ditetapkan.
Beliau berkata kementerian tidak berniat menutup mana-mana pusat hemodialisis di negara ini seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar baru-baru ini yang menyebut kononnya Pusat Hemodialisis Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang akan ditutup kerana tidak menepati peraturan yang digariskan.
Liow berkata hampir 95 peratus pusat hemodialisis di negara ini mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata kementerian sedia memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada pusat hemodialisis yang memerlukan bantuan teknikal dan cara mengendalikannya dengan lebih berkesan.
"Kita mahu pusat-pusat hemodialisis melatih doktor dan jururawat dalam bidang itu. Ini kerana terdapat lebih 20 ribu pesakit hemodialisis di negara ini," katanya. - BERNAMA
2 ulasan:
Ini menunjukkan Allah tak bagi pelatih inijadi polis... kerana polis sekarang ini dah banyak terkelencong kerja mereka (Polis yang ada pangkat/ ketua polis ke atas) mereka inibuat kerja yang tak sepatutnya... orang yang bersalah tak di tangkap sebaliknya orang yang tak bersalah di tangkap...renung-renungkan lah.
Lepasni KPN pulak kena...
Catat Ulasan