05 April 2011

Anak Gaddafi mahu bapa berundur

01 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

Seif al-Islam el-Gaddafi
Pemimpin Libya belum beri persetujuan berhubung isu peralihan pemerintahan demokrasi

BENGHAZI: Sekurang-kurangnya dua orang anak pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mencadangkan peralihan pemerintahan negara itu kepada demokrasi, termasuk melucutkan kuasa bapa mereka.

Akhbar The New York Times yang memetik sumber tidak dinamakan, melaporkan peralihan kuasa itu akan diterajui salah seorang anak Gaddafi, Seif al-Islam el-Gaddafi.

Laporan itu menyatakan belum dapat dipastikan sama ada Gaddafi, 68, bersetuju dengan cadangan yang disokong Seif dan Saadi el-Gaddafi, tetapi ada petunjuk memberi isyarat Gaddafi mahukan penyelesaian konflik yang sudah mengorbankan banyak nyawa penduduk awam itu.

“Kedua-dua anak Gaddafi mahu peralihan pemerintahan di negara itu tanpa bapa mereka,” lapor akhbar itu memetik sumber yang rapat dengan Seif dan Saadi.

Walaupun Seif dan Saadi ingin perubahan ekonomi ala Barat dan sistem politik terbuka, beliau dijangka menghadapi tentangan daripada dua lagi saudara lelakinya yang berpendirian keras, Khamis dan Mutuassim.

“Mutuassim yang juga penasihat keselamatan kebangsaan dianggap pesaing Seif untuk menggantikan bapa mereka,” kata akhbar itu.

Pemberontak Libya bagaimanapun menolak cadangan itu dan bertegas bahawa seluruh keluarga Gaddafi mesti diusir sebelum sebarang persetujuan dibuat dengan pasukan tentera rejim.

“Gaddafi dan anaknya perlu pergi sebelum sebarang rundingan boleh diadakan,” kata jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan, Shamseddin Abdulmelah.

Beliau berkata, Rejim Gaddafi kehilangan hak untuk berunding apabila pasukan keselamatannya terus menerus menyerang Misrata.

“Bagaimana kita boleh berunding dengan tembakan senjata terus dilepaskan?” katanya.

Semalam, Gaddafi menerima tamparan apabila bekas menteri luar dan presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ali Treiki, menjadi orang kanan terbarunya yang berpaling tadah.

Sumber Liga Arab berkata, Treiki meletak jawatan sebagai penasihat Gaddafi tetapi tidak menyertai kumpulan pemberontak.

Sementara itu utusan Gaddafi yang juga Timbalan Menteri Libya, Abdelati Laabidi meninggalkan Athens dan selepas perbincangan dengan Perdana Menteri George Papandreou dan menteri luar Dimitris, Droutsas bagi mencari penyelesaian konflik. – AFP

Tiada ulasan: