12 April 2011

Juruterbang maut helikopter terhempas

08 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

HELIKOPTER Bell 206 Long Ranger terhempas di Dataran Sibu, sementara gambar kecil, Muhyiddin (tiga dari kanan) melawat Sahimi di bilik bedah Hospital Sibu, semalam.
Pesawat terbabit nahas di Dataran Sibu ketika berlepas selepas iringi rombongan TPM

SIBU: Juruterbang helikopter Bell 206 Long Ranger yang membawa rombongan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bintangor, Sarikei dekat sini maut apabila pesawat itu terhempas di Dataran Sibu, selepas menurunkan tiga penumpangnya, termasuk Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Hafiz Abdul Halim.

Kapten Sahaimi Ghazali, 38, berasal dari Selangor meninggal dunia di Hospital Sibu (HS) jam 8.36 malam tadi akibat kecederaan parah pada paru-paru dan hati.
Kejadian di hadapan Wisma Sanyan jam 1.50 tengah hari dipercayai berlaku ketika helikopter milik Sabah Air itu mahu berlepas ke Lapangan Terbang Sibu. Nahas menyebabkan pesawat remuk teruk, terutama di bahagian kipas.
Muhyiddin yang menaiki helikopter berasingan turut mendarat di dataran sama sebelum kejadian untuk memulakan programnya di sini selepas melakukan lawatan kerja ke Kanowit dan Bintangor.

Timbalan Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman turut meluangkan masa melawat mangsa di HS.

Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata Allahyarham Sahaimi menjalani pembedahan dan dibantu alat sokongan pernafasan, tetapi gagal diselamatkan kerana kecederaan serius

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan pesawat terhempas sebaik berada pada ketinggian kira-kira dua meter menyebabkan juruterbangnya tersepit sebelum dikeluarkan orang ramai.
Sementara itu, Muhyiddin mengucapkan takziah kepada keluarga Sahaimi yang meninggal dunia kira-kira tujuh jam selepas kejadian.

“Allahyarham meninggal dunia ketika berkhidmat untuk negara. Kita akan melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarganya,” katanya sebelum berlepas pulang ke ibu negara selepas lawatan kerja sehari ke bahagian ini dan Sarikei, malam tadi.

Muhyiddin turut menyalurkan bantuan peribadi bagi membiayai kos pengurusan jenazah Allahyarham.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: