12 April 2011

Libya: Dari revolusi ke kancah perang saudara

08 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Pemimpin Libya, Muammar Ghadafi memang menunggu saat kejatuhannya. Tetapi kejatuhan Ghadafi tidak secepat kejatuhan Ben Ali Tunisia dan Hosni Mubarak, Mesir.

Bukan setakat Ghadafi yang menunggu saat digulingkan.Ramai lagi pemimpin-pemimpin dunia Arab yang akan jatuh dan bakal digulingkan oleh rakyat masing-masing, satu demi satu dalam revolusi kebangkitan rakyat yang kini sedang melanda seluruh Timur Tengah.

Tiada sesuatupun yang kekal kecuali Allah yang maha pencipta dan begitu jugalah dengan pemerintahan-pemerintahan dimuka bumi ini, akan berakhir apabila tamat tempuhnya. Pemerintahan-pemerintahan di negara-negara yang sedang mengalami kebangkitan rakyat ini akan berubah dan akan mengalami tempuh lupusnya apabila rakyat sudah bosan dengan regim-regim diktator yang zalim dan menindas ini.

Pada mulanya dijangkakan nasib Ghadafi sama saja dengan nasib Ben Ali dan Hosni Mubarak, kerana setiap pemerintahan mereka sama sahaja antara satu dengan lain. Zalim, menindas, rasuah, kukubesi dengan menyekat kebebasan bersuara; memenjara penentang politik; memperkosa hak asasi manusia sehingga rakyat sentiasa hidup dalam ketakutan.

Ben Ali dan Mubarak tunduk kepada kehendak rakyat walaupun cuba mempertahankan tempuk kuasa mereka, tetapi apabila kelihatan ia tidak mampu bertahan lagi, pemerintah diktator ini membuat exit mereka, tanpa menunggu lebih lama lagi. Mereka meninggalkan takhta kuasa mereka dalam susana penuh penghinaan.

Ben Ali dan Mubarak berpaut kepada kuasa melebihi dari had dan batas waktu yang sepatutnya menyebabkan akhirnya mereka hilang segala-galanya.

Ghadafi memilih jalan berkonfrantasi berhadapan dengan rakyat menyebabkan Libya kini berada diambang perang saudara. Situasi tidak menentu dan huruhara yang melanda Libya akan memakan masa lebih lama dan memakan korban yang lebih besar.

Setakat ini revolusi rakyat Libya yang bangkit menentang Muammar Ghadafi telah dapat menguasai timur Libya termasuk bandar kedua terbesar Benghazi dan beberapa bandar lain dan Ghadafi masih dapat mempertahankan Tripoli, ibunegara Libya.

Terdapat juga pihak-pihak yang menyokong Ghadafi dan mereka telah mencuba mengambil semula bandar-bandar dan kedudukan-kedudukan yang kini berada di tangan rakyat. Lebih ramai rakyat Libya yang akan terkorban apabila berlaku pertempuran antara yang bertelagah.

Ghadafi melalui ucapan-ucapan yang di siarkan oleh saluran TV pemerintah keras tidak akan tunduk kepada desakan rakyat yang mahukan dia berundur. Ghadafi dan anaknya Saiful Islam sama-sama berdegil tidak akan tunduk kepada desakan rakyat.

Wajah Libya bertukar, dari satu kebangkitan rakyat menjadi pertentangan antara rakyat yang menentang dan menyokong Ghadafi, termasuk pasukan-pasukan tentera, ada yang bersama dengan kebangkitan rakyat dan ada pula yang masih setia dengan Ghadafi.

Keadaan ini telah mencetuskan implikasi lebih buruk apabila Ghadafi menggunakan jet-jet pejuang tentera udaranya untuk melakukan serangan terhadap kedudukan–kedudukan pro kebangkitan rakyat yang kini menguasai sebahagian besar wilayah Libya.

Akibat dari keengganan Ghadafi menyerah kepada desakan revolusi kebangkitan rakyat, dimensi dari satu kebangkitan berubah menjadi peperangan terbuka yang akan memakan masa yang lebih lama bergantung sejauh mana keupayaan Ghadafi mempertahankan dirinya.

Masyarakat antarabangsa melalui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan beberpa resolusi bagi menekan Ghadafi untuk tunduk kepada tekanan dan akur dengan kehendak kebangkitan rakyat yang mahu menukar regim diktatornya kepada yang lebih demokratik dipilih rakyat.

Ghadafi, anaknya, Saiful Islam dan pembantu-pembantu rapatnya kini terdedah kepada pendakwaan di Mahkamah Dunia kerana jenayah kemanusiaannya terhadap rakyat Libya dalam mempertahankan regimnya.

Majlis Keselamatan juga sebulat suara menggenakan sekatan terhadap harta Ghadafi, keluarganya dan konco-konconya bagi meneruskan tekanan untuk memaksa Ghadafi berundur dari tampuk kuasanya. Ghadafi kini dalam keadaan makin lemah, bagaimana pun Ghadafi berlainan dari Ben Ali dan Mubarak, dia tidak akan tunduk dan mahu mati dalam perjuangan.

Demikianlah Ghadafi yang menganggap dirinya sebagai saorang revolusiner yang merampas kuasa mengulingkan Libya yang beraja dan menukar menjadi republik pada 1969.

Kini akibat pertempuran antara penyokong dan penentang Ghadafi di beberapa buah bandar dan kawasan menyebabkan kapasiti pengeluaran minyak Libya yang di exsport ke Eropah telah berkurangan menyebabkan Arab Saudi menambah pengeluarannya bagi menampung kekurangan pengeluaran minyak Libya.

Para pekerja asing terdiri dari rakyat pelbagai negara yang berkerja dalam pelbagai sektor dan kategari pengeluaran minyak telah meninggalkan Libya kerana menyelamatkan diri dan keadaan ini memungkinkan Libya menghadapi kekurangan tenaga kerja yang nanti menyebabkan pengeluaran minyak Libya terus berkurangan.

Dalam keadaan ini akan berlaku campurtangan kuasa Amerika Syarikat (AS) dan sekutu baratnya di Libya bagi menjamin pengeluaran minyak Libya. Inilah yang sedang direncana oleh AS dan sekutunya apabila resolusi zon larangan penerbangan dikuatkuasakan terhadap regim Ghadafi.

Apakah Ghadafi akan tunduk dengan segala sekatan yang dikuatkuasakan terhadap regimnya. Tentu sekali tidak, kerana Ghadafi telah mengambil pendekatan berbeza setelah melihat nasib yang menimpa Ben Ali dan Mubarak.

Ghadafi yang menyalahkan Al-Qaeda atas kebangkitan rakyat yang menentangnya akan mempunyai alas an baru iaitu apa yang berlaku di Libya adalah atas perancangan AS dan sekutu baratnya untuk merampas minyak Libya selepas AS dan barat menyerang Iraq untuk mendapat jaminan minyak Iraq.

Campurtangan AS dan barat tidak memberi kekuatan kepada revolusi rakyat Libya bahkan ia akan memberi kekuatan kepada Ghadafi untuk mengubah keadaan untuk memihak kepadanya kerana sentimen anti AS dan barat sangat kuat di rantau Timur Tengah. Jika camputangan ini mengambil tempat, maka Libya akan menjadi seperti Iraq yang kini dalam keadaan berperang memasuki lapan tahun.

Selagi konflik perang saudara di Libya tidak selesai, maka revolusi kebangkitan rakyat dijazirah Arab yang lain seperti di Yaman, Bahrian, Oman, Jordan, Algeria dan lain-lain negara akan berterusan kerana negara-negara ini juga terus mahu mempertahankan regim masing-masing.

Beberapa pembaharuan telah cuba di perkenalkan bagi menanggani dan membendung kebangkitan rakyat, tetapi rakyat mahukan pertukaran regim dinegara-negara ini. Regim-regim ini bagi mempertahankan status quo kuasa mereka telah mengerakkan rakyat yang menyokong regim berdemonstrasi menentang demonstrasi kebangkitan rakyat.

Keadaan ini akan membahayakan dan mencetuskan huruhara dan pertembungan yang boleh membawa kepada anarki seperti yang berlangsung diLibya sekarang, sedangkan yang berdemonstrasi menyokong regim hanya segelintir kecil sahaja, tetapi yang mencetuskan revolusi kebangkitan rakyat terdiri dari majoriti rakyat.

Harakahdaily/-
Oleh : Suhaimi Mokhtar

Tiada ulasan: