22 April 2011

Kabinet Jepun lulus 4 trilion yen untuk pemulihan akibat bencana

18 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

TOKYO: Kabinet Jepun hari ini meluluskan bajet khas bernilai empat trilion yen (RM147 bilion) untuk melaksanakan pembangunan semula kawasan yang terjejas selepas dilanda gempa bumi dan tsunami, bulan lalu, kata pegawai.

Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Naoto Kan merancang untuk membentangkan bajet berkenaan di Parlimen negara berkenaan pada 28 April ini, dengan sasaran supaya ia diluluskan pada 2 Mei ini dengan sokongan mencukupi daripada pembangkang, yang kini menguasai dewan atasan.

Ia adalah bajet tambahan pertama diluluskan kerajaan sejak bencana alam itu melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu, mengakibatkan lebih 27,000 orang mati atau hilang sambil menyebabkan kebocoran loji kuasa nuklear.
Bajet berkenaan dijangka digunakan untuk kerja-kerja pemulihan seperti membersihkan timbunan dan sisa runtuhan serta membina kawasan perumahan sementara bagi mangsa bencana alam itu.

Kira-kira 1.20 trilion yen (RM3.62 bilion) iaitu jumlah terbesar daripada bajet berkenaan akan dibelanjakan untuk projek kerja awam seperti memulihkan semula jalan raya, pelabuhan dan tanah pertanian.

Bajet khas itu juga akan merangkumi baik pulih sekolah yang rosak dan kemudahan kebajikan serta memberi suntikan kewangan kepada pihak berkuasa tempatan dan sektor perniagaan kecil-kecilan di negara itu. - AFP

Tiada ulasan: