22 April 2011

IGP dimasukkan ke hospital kerana penat

18 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 22 April - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dimasukkan ke hospital selepas mengadu tidak sihat ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman di sini, pagi ini.

Ismail dibawa ke Pantai Hospital Kuala Lumpur di Bangsar sejurus majlis itu berakhir kira-kira pukul 10.30 pagi.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Robiah Abd Ghani berkata, pemeriksaan doktor mendapati Ismail hanya kepenatan dan berada dalam keadaan stabil.

"Pada penghujung majlis itu, Tan Sri mengadu pening, tidak sedap badan dan rasa mahu pitam sebelum beliau dikejarkan ke sini.

"Pemeriksaan doktor mendapati beliau tidak sakit dan tiada apa yang tidak kena cuma kepenatan, malah beliau boleh bercakap seperti biasa,” katanya kepada pemberita di perkarangan pusat perubatan itu.

Beliau berkata, doktor juga meminta Ismail untuk berehat di dalam wad buat beberapa hari bagi pemantauan lanjut.

Dalam pada itu, isteri Ismail Puan Sri Suriati Md. Sobri yang enggan ditemuramah pemberita hanya memberitahu yang suaminya sedang berehat. - Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

get well soon....