18 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 22 April: Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Di Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) semalam membuat satu laporan polis terhadap seorang pemuda yang didakwa menghina Sultan Kelantan di Facebook.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Lembah Subang, Petaling Jaya bagi menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu bernama Sulaiman Ali Sulaiman kerana didakwa menulis kata-kata kesat dan lucah terhadap Tuanku Muhammad Faris Petra.
Presidennya, Ali Hanafiah Mohammed dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, sebagai raja yang dilindungi oleh Perlembagaan negara, Sultan tidak seharusnya dilibatkan dalam isu-isu tertentu apatah lagi dalam bentuk penghinaan.
“Ini bukan kali pertama Raja kami dihina, penghinaan terhadap raja kami adalah penghinaan terhadap kami,” tegasnya.
Selain menghina Sultan, Sulaiman Ali Sulaiman melalui paparan Facebooknya juga dilihat banyak menghentam Pakatan Rakyat termasuk menggunakan kata-kata kesat.
Beliau juga turut menghina rakyat kelantan yang didakwanya sebagai 'bodoh'.
Persada, sebuah NGO anak Kelantan kata Ali, tidak akan membiarkan perkara itu terus berlaku dan akan sentiasa berdiri teguh dan mempertahankan Sultan Kelantan sebagai payung pemerintah negeri yang berdaulat.
Beliau sehubungan itu menggesa pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan segera terhadap individu berkenaan kerana tidak menghormati institusi diraja.
Turut mengiring Presiden adalah setiausahanya Razali Mat Ail, Penolong Setiausaha, Norfadhilah serta ahli jawatan kuasa Azihan Che Seman, Nur Izzah Daud dan M Shukrey.
Harakahdaily
1 ulasan:
Lebih baik Polis bertindak cepat takut nanti ada antara anak Kelantan
bertindak. Desas desus kedengaran BUDAK MAK BAPAK DIA TAK AJAR sedang
dicari oleh anak Kelantan di Ipoh. Anak-anak Kelantan sedang memantau
takut nanti tiada tindakan dari pihak Polis.
Catat Ulasan