22 April 2011

Maut Elak Langgar Kera

18 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



SUNGAI SIPUT: Akibat ingin mengelak melanggar kera melintas jalan, penoreh getah maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas ke bahu jalan.

Bagaimanapun, dalam kejadian di Kilometer 16 Jalan Karai Jawang - Sungai Siput, di sini, kira-kira jam 8.45 pagi semalam, Mohd Ridzwan Mohd Idris, 23, dia tetap gagal mengelak kera itu menyebabkan haiwan berkenaan mati.

“Luluh hati mendapati mayat terbujur di atas jalan raya itu rakan baik saya sendiri,” kata Aminuddin Alang Yahaya, 25, rakan arwah Mohd Ridzwan.

Mangsa yang berasal dari Kampung Pulau Kemiri Trosor maut serta-merta di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketika kejadian, arwah dalam perjalanan ke kebun getah keluarganya di Kampung Berala, Sauk kira-kira setengah jam dari rumahnya.

Aminuddin yang juga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) cawangan Kuala Kangsar berkata, kali terakhir dia terserempak dengan arwah petang kelmarin ketika dia keluar bekerja dan hanya sempat melambai arwah.

“Ketika pulang tempat kerja pagi tadi (semalam), saya lihat orang ramai berkerumun di jalan raya. Sebaik mendekati, saya terkejut mendapati mayat itu rakan baik saya,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, bapa arwah, Mohd Idris Kamaruddin, 53, yang ditemui di bilik forensik Hospital Sungai Siput (HSS) semalam berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya menuruti segala arahan dia berikan termasuk membantunya di kebun getah.

“Arwah mengikuti semua kehendak saya, malah dia (arwah) dengan senang hati membantu saya di kebun getah,” katanya.

Katanya, ketika kejadian, dia tiba di kebun getah kira-kira jam 7 pagi dan menunggu arwah.

Mohd Idris berkata, selepas sejam menunggu, dia dimaklumkan rakan arwah terbabit dalam kemalangan lalu ke tempat kejadian.

“Setiba di sana, arwah sudah meninggal dunia dan saya sempat melihat bangkai kera dirempuh arwah kira-kira tiga meter daripada mayat arwah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Abdul Azman Salim ketika dihubungi semalam berkata, motosikal arwah hilang kawalan selepas merempuh kera melintas jalan sebelum terbabas dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiada ulasan: