27 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Sudah menjadi nasib peniaga kecil, yang terpaksa menumpang dan mengharapkan belasan ehsan pemilik bangunan bagi mencari sesuap rezeki untuk meneruskan kehidupan. Persoalannya sampai bila mereka terpaksa menyuap buaya buas di muara sungai?
Inilah keluhan dan rintihan para peniaga kecil Sabah yang rata-rata terpaksa menyewa permis perniagaan yang mahal. Malah ada peniaga terpaksa membayar sewa sehingga RM650 hingga RM1500 untuk menyewa bangunan dengan kadar keluasan 3X6 dan 8 X 6 kaki persegi.
Bukan sekadar itu, peniaga juga didesak untuk membayar tiga hingga lima bulan deposite untuk menyewa lot kedai tersebut. Ini tidak termasuk kos pengubahsuaian kedai tersebut. Malah dalam masa pengubahsuaian itu juga, sewa bulanan kedai turut berjalan.
” Senario yang berlaku di bandar-bandar malah di pekan-pekan seluruh Sabah ini amat membebankan peniaga kecil yang mempunyai modal yang terhad. Kos ini belum lagi termasuk barangan yang hendak mereka niagakan”. Terang Hisyamuddin.
Hisyamuddin selaku Ketua Penerangan PAS Sabah mendesak Kementerian atau jabatan yang terbabit supaya menggubal satu enekmen atau akta yang boleh mengawal dan menghadkan kadar sewa supaya para peniaga kecil dapat keluar daripada kesusahan lintah darat yang terus menyedut kudrat mereka.
“Sekiranya fonemena ini dibiarkan, saya bimbang nasib peniaga kecil yang majoritinya adalah bumiputera akan terbatas keupayaan niaga mereka sehingga terpaksa memilih untuk berniaga dikaki-kaki lima bangunan atau pasar-pasar tamu yang bersifat mingguan sahaja”. Jelas Hisyamuddin.
” Jika begini keadaan mereka, peniaga kecil yang sebahagiannya meminjam modal daripada Amanah Ikthiar dan TEKUN akan terbeban dengan hutang dan sukar untuk mereka membayar balik pinjaman mereka. Jika ini terjadi, sia-sialah usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan melalui program Amanah Ikthiar dan TEKUN”. Tambah Hisyamuddin.
Kadar sewa yang tinggi ini turut menambah jurang ekonomi antara golongan kaya dan golongan miskin. Inilah antara sebab kenapa gaji pekerja di Sabah terlalu murah jika dibandingkan dengan pendapatan yang diperolehi oleh majikan.
Selain itu, kadar sewa yang mahal juga turut menyebabkan barang jualan dinaikkan harga bagi menampung kos sewa bangunan. Pelangganlah yang selalu menjadi mangsa kepada kerakusan golongan bangsawan.
“Tindakan tangkas ini perlu bagi membela golongan yang berpendapatan rendah.Malah, saya cukup optimis, sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir negara, perkara yang melibatkan golongan berpendapatan rendah akan diberi keutamaan oleh kita.” Kata Hisyamuddin menutup bicaranya.
Oleh : Sabahkita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan