26 April 2011

"Semua Salah Saya"

22 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



BOLTON: Arsene Wenger mengaku bertanggungjawab atas kegagalan Arsenal musim ini selepas harapan mereka merebut kejuaraan semakin sukar berikutan kekalahan kepada Bolton.

Wenger berkata, harapan pasukannya untuk menamatkan kemarau trofi enam musim berturut-turut mula tipis selepas kekalahan 2-1 di Stadium Reebok, semalam.

Keputusan itu menyebabkan Arsenal ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester United dengan saingan musim ini berbaki empat perlawanan.

Walaupun anak buah Wenger yang akan melayan kunjungan United di Stadium Emirates, Ahad ini masih berpeluang menamatkan cabaran di tangga teratas namun ia memerlukan keajaiban untuk mereka memintas skuad kendalian Sir Alex Ferguson.

Wenger secara terbuka menerima hakikat kegagalan selepas gol jaringan saat akhir Tamir Cohen membantu Bolton mencipta kemenangan dramatik sekali gus menamatkan pemburuan Arsenal musim ini.

Pengurus dari Perancis itu berkata, pasukannya yang menduduki tangga ketiga kurang matang dan berpengalaman. Namun beliau mengaku bertanggung jawab atas satu lagi kegagalan musim ini.

“Peluang kami merangkul kejuaraan kini tipis tapi kami harus terus berjuang,” kata Wenger. “Ia sungguh mengecewakan apabila hanya mendapat dua mata daripada sembilan mata, tapi itulah hakikat yang terpaksa kami terima.

“Saya berasa semua pemain menunjukkan sikap yang bagus sepanjang musim namun mereka tidak boleh dipersalahkan. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati, mereka boleh menyalahkan saya atas kegagalan ini. Saya yang membentuk pasukan, memilih pemain dan bagi saya, mereka menunjukkan persembahan terbaik sepanjang musim,” katanya.

Kali terakhir Arsenal merangkul kejuaraan pada 2005 apabila mereka memenangi Piala FA.

“Ya, ia pencapaian yang tidak memuaskan. Di atas kertas saingan tampak mudah tapi kami banyak kali gagal mengambil peluang dan ia sangat mengecewakan.

“Kami memiliki potensi tapi berada dalam bidang di mana anda perlu mengambil peluang dan menjadi realistik. Kami masih kekurangan sesuatu seperti kematangan dan pengalaman dalam situasi penting. Apabila tidak menang, anda akan mempersoalkan kemampuan tapi jika sesuatu tidak bagus berlaku kepada pasukan, anda tidak boleh buat begitu.

“Saya yakin pasukan kami bagus. Kami kurang stabil di bahagian pertahanan. Kami melepaskan enam gol minggu ini dan anda tidak boleh melepaskan enam gol dalam tiga perlawanan pada April dan memenangi kejuaraan. Pertahanan kami sangat rapuh,” jelas Wenger. 

AFP

1 ulasan:

akuameer berkata...

walaupun saya tak minat / sokong team ini, tapi masih bersimpati dan kecewa dengan corak permainan mereka.. mereka telah beri peluang untuk Man United selesa di tangga pertama...tahniah Man U !!