17 Mei 2011

Ferguson kagum sikap pemain

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memuji sikap tidak mudah berputus asa para pemain selepas pasukan itu merangkul gelaran Liga Perdana England ke-19, Sabtu lalu.

Kini, United berpeluang untuk meraih gelaran berganda musim ini sekiranya berjaya menewaskan kelab Sepanyol, Barcelona pada final Liga Juara-Juara di Stadium Wembley, 28 Mei ini.

Pengurus kelahiran Scotland itu yakin sekiranya para pemain mampu mengekalkan sikap itu, tidak mustahil bagi mereka untuk menumbangkan Barcelona.

BARISAN pemain United meraikan kejayaan mereka muncul juara Liga Perdana England buat kali ke-19 musim ini

"Para pemain langsung tidak cepat atau mudah berputus asa dan itu adalah kualiti yang dimiliki mereka.

"Diakui, kami (United) akan turun menentang kelab hebat seperti Barcelona pada aksi final tetapi itu langsung tidak menggerunkan kami kerana kami tahu kekuatan yang kami miliki.

"Kami mampu melakukan yang terbaik pada aksi final nanti," jelas Ferguson yang merekodkan gelaran juara ke-12 sepanjang membimbing United sejak 1986.

Ditanya adakah kemenangan ke atas Barcelona mampu menutup mulut segelintir pihak yang sebelum ini sering kali mempertikaikan kemampuan skuad The Red Devils, Ferguson menjawab: "Sudah pasti.

"Ia merupakan salah satu cabaran terbesar kami pada perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Wembley itu dan kami memang bagus dalam menghadapi sebarang cabaran.

"Tidak kiralah daripada mana mereka (Barcelona) datang, kami tetap akan membuktikan kemampuan kami," ujar Ferguson. 

Agensi

Tiada ulasan: