17 Mei 2011

Redknapp inspirasi Spurs

14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



LIVERPOOL: Harry Redknapp mencetus inspirasi kepada Tottenham Hotspur untuk mencatat kemenangan 2-0 ke atas Liverpool selepas mengugut pemain akan kembali daripada cuti lebih awal jika gagal meraih tempat di Liga Europa.

Skuad bimbingan Redknapp itu merampas tangga kelima daripada Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris selepas gol awal Rafael Van der Vaart dan sepakan penalti Luka Modric pada babak kedua di Anfield, kelmarin.

Ia bermakna kemenangan menentang Birmingham City pada hari terakhir saingan liga akan memastikan tempat Tottenham dalam pertandingan kelas dua peringkat Eropah itu musim depan.

Redknapp mendakwa taktik menakutkan pemainnya sebelum perlawanan itu berbaloi selepas beliau memberitahu pasukannya, jika gagal menduduki tangga kelima, mereka terpaksa bermain awal dalam kelayakan Liga Europa kerana kedudukan tinggi mereka dalam Liga Fair Play.

“Saya menakutkan mereka sebelum perlawanan dan nyata ia menjadi,” kata Redknapp.

“Kami mengungguli Liga Fair Play yang bermakna mereka perlu kembali dalam dua minggu dan terpaksa beraksi sekali lagi Jun ini.

“Tapi kami sebenarnya tidak bertarung untuk tiket ke Liga Europa, kami berjuang untuk menduduki tangga kelima dan menamatkan saingan sebaik mungkin serta memenangi perlawanan sebanyak mungkin.

“Kemenangan ini amat bermakna buat kami. Kami perlu menang untuk mengatasi Liverpool dan kini kami berpeluang melakukannya.

“Bagaimanapun kami akan berdepan perlawanan sukar menentang Birmingham yang berusaha menyelamatkan kedudukan mereka tapi ini satu keputusan yang bagus.” 

AFP

Tiada ulasan: