14 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
DUNGUN: Hasrat seorang kakitangan Risda untuk melapor diri pada hari pertamanya bertugas di tempat baru tidak kesampaian apabila dia maut disengat tebuan di ladang sawit milik majikannya di Serdang, semalam.
Mohd Taufik Jusoh, 26, yang bekerja sebagai mandor dikatakan baru bertukar dari Pejabat Risda Marang ke Dungun dan ketika kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, dia dalam perjalanan melaporkan diri kepada penyelia tempat kerjanya yang baru.
Mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai disengat tebuan di kepala dan badan terpaksa menahan kesakitan sambil memecut kenderaannya ke Klinik Kesihatan Kampung Delong yang terletak kira-kira dua kilometer dari ladang berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa dikatakan sempat memaklumkan dia disengat tebuan kepada kakitangan di pusat kesihatan berkenaan dan beberapa minit selepas itu mangsa dilaporkan pengsan sebelum dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Dungun.
Mangsa yang masih bujang dan berasal dari Kampung Batu 48, meninggal dunia dalam perjalanan sebelum jenazahnya dibawa ke bilik mayat untuk bedah siasat.
Sementara itu, ibu mangsa, Habsah Yusof, 56, berkata, dia tidak menyangka kemunculan seekor kucing putih yang sering bermanja dan menemani arwah anaknya bersembahyang petanda anaknya itu pergi buat selama-lamanya.
Katanya, kehadiran kucing berwarna putih itu yang sering berada di sebelah kanan ketika anaknya mengerjakan solat sejak seminggu lalu membuatkan arwah sendiri tertanya-tanya.
“Arwah pernah bertanya saya kenapa kucing itu sering bermanja dan duduk menemaninya solat dan semalam (kelmarin), secara tiba-tiba seekor kucing lain naik ke rumah dan menghambat kucing terbabit,” katanya.
Menurutnya, kucing putih itu yang ketakutan memanjat pokok kelapa di tepi rumah menyebabkan arwah memanggil pasukan bomba menurunkan kucing itu kerana bimbangkan keselamatannya.
“Bagaimanapun kucing itu gagal diturunkan kerana pokok kelapa itu sangat tinggi dan sebelum ke tempat kerja arwah melihat kucing berkenaan di atas pokok itu sebelum berkata, ‘nasib engkaulah kucing, mungkin ajal kamu ditentukan di atas pokok’,” katanya.
Habsah berkata, sejurus arwah anaknya ke tempat kerja, dia menyambung membuat kerja rumah sebelum menerima panggilan daripada rakan anaknya memaklumkan arwah disengat tebuan dan berada di Hospital Dungun jam 10 pagi.
“Saya bergegas ke Hospital Dungun dan sebaik tiba, saya dimaklumkan arwah meninggal dunia. Arwah adalah anak yang baik,” katanya.
Habsah berkata, dia juga hairan kerana ketika makan malam bersama sehari sebelum kejadian, arwah berubah sikap dengan kerap merenungnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan