25 Mei 2011

Guardiola tetap hormati United

22 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


BARCELONA, Sepanyol - Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola tidak mahu dilabel selaku pasukan pilihan pada final Liga Juara-Juara menentang Manchester United di Stadium Wembley, Ahad ini.

Guardiola berkata, beliau tetap menghormati skuad bimbingan Alex Ferguson itu.

PARA pemain Barcelona menjalani sesi latihan ringan sebagai persiapan untuk menghadapi United pada final Liga Juara-Juara di Stadium Wembley

United menampilkan aksi yang lebih konsisten musim ini dan berjaya merampas gelaran juara Liga Perdana England daripada pencabar terdekat, Chelsea.

Pada masa yang sama, Barcelona turut menerima pujian daripada pengkritik berikutan persembahan menarik pasukan itu sepanjang musim ini.

Bagaimanapun, Guardiola, 40, yang merupakan antara pemain dalam skuad Barcelona ketika memenangi Piala Eropah pertama di Wembley pada tahun 1992 berkata, beliau perlu lebih berhati-hati pada pertemuan menentang United itu.

"Saya melihat United bermain pada aksi separuh akhir kedua menentang Schalke 04 dan mereka tetap hebat meskipun bermain tanpa beberapa pemain utama," kata Guardiola.

"Mereka memiliki ramai pemain berkualiti dan mampu menampilkan empat atau lima barisan pemain berlainan tanpa ada sebarang masalah.

"Mereka sering kali kompetitif dan salah sebuah pasukan terbaik di dunia. Mereka juga mampu bertahan lima atau 10 tahun lagi."

Pertemuan di London pada Ahad ini dianggap sebagai ulangan final di Rom dua tahun lalu apabila Barca menang 2-0 ke atas United.

United bermula agak baik pada awal permainan tetapi skuad The Catalan lebih banyak menguasai saingan selepas jaringan penyerang Cameroon, Samuel Eto'o.

Barca mendominasi permainan selepas penyerang Argentina, Lionel Messi meledakkan gol kedua pasukan itu pada babak kedua.

"Kami perlu melihat semula perlawanan itu dan saya rasa United lebih baik daripada kami pada separuh masa pertama.

"Saya rasa kami akan menghadapi satu lagi perlawanan yang sukar." 

AFP

Tiada ulasan: