22 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM : Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul menganggap temuramah salah seorang trio 'Datuk T', Datuk Syazryl Eskay Abdullah sebagai 'kuda tunggangan' UMNO BN yang digunakan bagi tujuan memfitnah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah menurut Johari, temuramah ekslusif Eskay yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini sebagai tidak benar dan bercanggahan dengan fakta.
Johari turut menegaskan PKR akan mendedahkan kepincangan Eskay tidak lama lagi.
"Kena tanya orang Kedah siapa dia Eskay yang kami kenal. Kami tahu habuan yang dia dapat mungkin dari bekas Perdana Menteri, Mahathir.
Kami juga tahu cara dia berniaga, yang akan didedah dalam sedikit masa lagi. Bagi saya UMNO BN gunakan Eskay sebagai kuda tunggangan mereka," katanya.
Eskay sebelum ini ditemani bekas Menteri Besar Melaka, Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim, mengangkat sumpah 'laknat' di Masjid Amru Al-As pada 29 April lalu kononnya beliau dan Anwar terlibat dalam skandal seks seperti mana yang didedahkan mereka 21 Mac lalu.
Walaubagaimanapun, Rahim dan Shuib tidak membuat sumpah laknat.
Utusan hari ini, muka surat 12, menyiarkan temuramah ekslusif mereka dengan Eskay yang digambarkan sebagai seorang yang mesra dan berakhlak mulia malah digambarkan sebagai hero.
Menurut temuramah tersebut, Eskay yang menjadi Konsul Kehormat Diraja Thailand dikatakan terlibat dan bertanggungjawab dalam memeterai Peta Keamanan (Peace Road Map) melibatkan semua wakil puak pemisah di bawah naungan organisasi yang dinamakan BERSATU termasuk pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Gerakan Mujahiden Islam Pattani (GMP) dan Barisan Revolusi Nasional-Kongres (BRN).
Namun Johari yang juga bekas Pegawai Tinggi Kerajaan Pusat menegaskan, apa yang terpapar diruangan Rencana itu tidak benar sama sekali.
"Dalam hal-hal keselamatan seperti ini, kita tak gunakan konsul, Konsul general kehormat dan konsul general berbeza. (Eskay) konsul Langkawi sahaja, bukan Malaysia. Fungsi Konsul General Kehormat adalah berkaitan pelancongan, kebudayaan dan sewaktu dengan itu.
"Ini bukan peranan Konsul General Terhormat. Ini peranan yang dimainkan Majlis Keselamatan Negara, Polis, Tentera dan lain-lain. Saya yakin mereka yang terlibat turun akan berdiam diri kerana perkara ini 'Top Secret' (Rahsia Sulit) Kerajaan," tambah Johari.
Menurut Johari fungsi Eskay hanyalah seperti 'Pengurus Acara' atau Pemandu Pelancong semata.
"Saya yakin, kalau ada Menteri-menteri atau VIP ingin ke Thailand Datuk Eskay boleh jadi 'tour guide' tapi terlibat dalam hal seperti ini...seperti saya kata, saya bekas Pegawai Tinggi kerajaan," kata Johari lagi.
Justeru, Johari mencabar Eskay yang menyatakan Anwar ke Thailand dengannya secara berseorangan menjelaskan dengan terperinci tarikh kedatangan Anwar ke Thailand jika benar semua tuduhan sebelum ini.
"Saya nak cabar Eskay, beritahu bila tarikh Anwar ke Thailand. Sebab dia kata Anwar pergi sendirian. Sedangkan saya tahu tujuan Anwar ke Thailand dan dengan siapa dia pergi dan apa yang dia bincangkan. Dia tak akan pergi sorang," kata Johari.
Tv Selangor/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan