25 Mei 2011

Pemuda bebas tuduhan bunuh penternak ayam

22 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi di sini semalam membebas dan melepaskan seorang pemuda daripada hukuman mati atas tuduhan membunuh seorang penternak ayam di Kubang Pasu dekat sini tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Mohd. Nazri Harun, 25.

MOHD. NAZRI memeluk ibunya selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi Alor Setar 


Sejurus prosiding penghakiman, Mohd. Nazri yang berada di kandang tertuduh dilihat menadah tangan berdoa dan memeluk seorang wanita dipercayai ibunya selepas dibawa keluar dari mahkamah.

Tertuduh didakwa membunuh Tan Ah Yee atau Tan Chen Chuan, 65, di Kampung SC Dalam, Kubang Pasu antara pukul 8.30 hingga 9 malam pada 20 April 2010.

Mohd. Nazri yang bekerja sebagai pembantu kepada penternak ayam itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Mohd. Zaki dalam penghakimannya menyebut, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh membunuh si mati dengan menembak mangsa menggunakan senapang patah sebelum membakarnya di rumah tersebut.

Katanya, keterangan pakar forensik hanya menjelaskan bahawa hasil bedah siasat ke atas si mati yang ditemui rentung dalam kebakaran di rumahnya menunjukkan bahawa dia mati akibat ditembak senapang patah.

"Mahkamah mendapati keterangan pihak pendakwaan hanya bergantung kepada bukti ikut keadaan tanpa sebarang bukti sokongan. Tiada satu pun keterangan pendakwaan membuktikan tertuduh yang menembak si mati," ujarnya.

Tambahnya, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas darah yang ditemui pada baju kemeja T tertuduh menunjukkan bahawa ia miliknya sahaja dan bukan Ah Yee.

"Begitu juga mengenai kelongsong peluru senapang patah dan sisa senapang patah yang ditemui dalam kebakaran tersebut gagal dibuktikan bahawa ia digunakan oleh tertuduh untuk menembak si mati," katanya.

Sepanjang pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Mohd. Yatim seramai 21 saksi dipanggil memberi keterangan.

Mohd. Nazri diwakili peguam Ali Munawar Razak.

Mengikut fakta kes, mayat Ah Yee ditemui dalam rumahnya yang musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 11 malam pada hari kejadian.

Tertuduh yang berada di tempat kejadian memberitahu bahawa dia dan majikannya itu telah disamun dan dia pengsan akibat dipukul.

Setelah tersedar tertuduh memberitahu rumah majikannya itu sudah hangus.

Tiada ulasan: